Malaysia Dateline

Hentikan serangan ke atas institusi kehakiman

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menuntut pimpinan parti-parti politik terutama Umno untuk menghentikan serangan-serangan ke atas institusi kehakiman dan membenarkan proses perbicaraan berjalan hingga ke penghujungnya.

Menerusi kenyataan hari ini, PH menyatakan perasaan sangat terkejut dan amat dukacita dengan siri kenyataan pimpinan tertinggi Umno yang dilihat menyerang institusi kehakiman.

“Serangan-serangan ini semakin menjadi-jadi terutama apabila proses perbicaraan rayuan Najib Razak dalam kes SRC International hampir ke penghujungnya.

“Malah, serangan-serangan ini khususnya dari kalangan penyokong Umno dan ‘cybertroopers’ semakin bersifat ugutan termasuk ugutan bunuh terhadap Ketua Hakim Negara,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang unsur ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak kelmarin.

Mengulas lanjut, PH menegaskan bahawa ugutan mencedera atau membunuh adalah kesalahan-kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, PH yang terdiri daripada PKR, AMANAH, DAP dan UPKO menyokong kenyataan Acryl Sani bahawa pihak yang mengugut untuk mencedera atau membunuh Ketua Hakim Negara akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

“Pakatan Harapan menegaskan bahawa kebebasan institusi kehakiman mesti dipertahan sepanjang masa, dan institusi tersebut wajib kekal konsisten sebagai salah satu tunggak utama dan tiang seri negara,” katanya lagi.

Baca juga ‘Stesen berikutnya… Sungai Buloh’, orang ramai tidak sabar lihat kesudahan Bossku

Baca juga Dibawa lari orang tak dikenali, remaja autistik ditemui di Kelantan