Malaysia Dateline

Hentikan serangan peribadi Ahli Parlimen Tangga Batu

Wanita PKR Pusat meminta agar menghentikan serangan berbentuk peribadi kepada Ahli Parlimen Tangga Batu berikutan kenyataannya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat Ginie Lim berkata, Anggota Parlimen Rusnah Aluai telah membangkitkan isu penggunaan nama Timah pada arak dalam konteks keprihatinan tentang isu wanita.

Bagaimanapun, katanya kenyataan Rusnah telah mencetuskan kekeliruan dan mengundang pelbagai reaksi negatif termasuk kata-kata kesat yang bersifat serangan peribadi.

“Walaupun saya tidak semestinya bersetuju dengan pandangan beliau sepenuhnya, saya percaya dalam masyarakat majmuk harus ada ruang pembahasan yang berbeda pendapat.

“Jelasnya isu ini telah menjadi hangat apabila viral dalam media sosial. Kritikan yang berasas kepada fakta memang seharusnya diterima dan semua pihak sepatutnya bersedia memahami satu sama lain.

“Namun serangan peribadi terhadap Rusnah Aluai dengan cara yang kurang bersopan dan kata kesat bukan budaya yang sihat,” katanya.

Jelas beliau, PKR adalah parti yang merangkumi pelbagai pandangan politik namun bantahan terhadap pendirian wakil rakyat boleh disalurkan dengan cara konstruktif dan sekiranya ada kesilapan.

“Kami terbuka untuk melakukan pembetulan. Adalah digesa agar hentikan serangan peribadi dan sensasi terhadap Ahli Parlimen Tangga Batu.

“Masyarakat umum sewajarnya mengambil pendekatan untuk berbahas secara sihat dan matang mengenai perkara ini bagi memperbetulkan persepsi supaya tidak berlaku polarisasi pendapat yang akan memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, di dalam perbahasan pindaan Akta Perihal Dagangan di Dewan Rakyat semalam, Rusnah mempertikaikan penggunaan nama Timah pada arak kerana jenama dan imej yang digunakan terlalu mengelirukan dan perlu diubah.

Beliau menyamakan minum wiski jenama Timah seperti “minum wanita Melayu” dan ia tidak bagus untuk wanita Melayu yang dipanggil kak timah, mak timah dan makcik timah.