Malaysia Dateline

CIJ gesa hentikan siasatan terhadap 4 pengguna sosial media

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menarik semula siasatan terhadap pengguna media sosial yang didakwa memuatnaik hantaran yang diklasifikasikan sebagai menghasut.

Pengarah Eksekutifnya, Wathshlah G. Naidu (gambar) menegaskan, pihak polis yang sedang menjalankan siasatan telah melanggar kebebasan bersuara serta hak orang ramai untuk mengemukakan pandangan.

Menurutnya, kebebasan bersuara jelas termaktub di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Norma dan kebebasan ini meliputi hak asasi untuk memperoleh maklumat dan bertukar idea yang membolehkan masyarakat membentuk pendapat mereka sendiri.

“Ini telah memungkinkan adanya perbezaan pendapat terutama dalam isu kepentingan umum yang memperlihatkan demokrasi berfungsi dengan sihat.

“Justeru kami meminta agar siasatan ini dibatalkan sekaligus,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang menjalankan siasatan terhadap empat pemilik akaun media sosial kerana cenderung menghasut dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya memulakan siasatan terhadap empat individu yang didakwa menghina Raja iaitu Ronnie Liu Tian Khiew, Uncle Ireeve dan Liew Lip Nan dan Ho Ruey Terng

keempat-empat kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau kerajaan.

Sementara itu, Wathshlah membangkitkan tentang penggunaan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM) yang sebelum ini dikritik sebagai akta yang menindas kerana bertentangan dengan amalan kebebasan bersuara.

CIJ turut mengulangi pendiriannya bahawa Akta Hasutan adalah undang-undang yang telah disalahgunakan untuk menyekat perbezaan pendapat, biarpun tiada ancaman terhadap ketenteraman awam atau keselamatan negara.

“Walaupun ada beberapa komen yang dapat ditafsirkan sebagai menghina atau menyinggung, itu tidak dikira menghasut dan mengancam keselamatan negara atau ketenteraman awam.

“Dan dengan demikian tidak memerlukan pendakwaan jenayah. Untuk itu, kami menggesa kerajaan untuk menghentikan penggunaan undang-undang yang menindas ini.

“Hentikan segera segala siasatan yang sedang berjalan,” katanya lagi.