Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepatutnya menghabiskan lebih banyak masa, sumber dan usaha untuk menyiasat kartel polis yang didakwa telah menerima wang sindiket jenayah, dan bukannya menyiasat himpunan aman undi 18.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, kartel polis lebih berbahaya dan mengancam keselamatan awam berbanding perhimpunan aman yang hanya mahu menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan pelaksanaan penurunan usia mengundi kepada 18 tahun.
“Polis mempunyai perkara yang lebih penting untuk dilakukan daripada menyiasat perhimpunan aman Undi18 yang membantah keputusan kerajaan yang memungkiri janjinya.
“Lagi pun, tidak ada jalan lain bagi mereka yang membantah untuk meminta Ahli Parlimen mereka menyuarakan rungutan dan ketidakpuasan hati setelah penggantungan Parlimen oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, DAP menggesa pihak polis untuk menghentikan siasatan dan tidak menyusahkan peserta perhimpunan aman yang hanya mahu menegakkan Perlembagaan Persekutuan.