Malaysia Dateline

Hentikan sikap angkuh, sombong kerajaan Pas di Kelantan

Setelah lebih 31 tahun berkuasa di Kelantan, Pas kini dilihat bersikap angkuh dan sombong bukan sahaja dalam politik, bahkan kepada rakyat negeri ini, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

Oleh itu, semua pihak di Kelantan tidak kira dari mana-mana parti harus bekerjasama dalam memastikan kesombongan Pas ini dihentikan dari terus dibiar bermaharajalela, kata Rushdan Mustafa, Setiausaha PH Negeri Kelantan (gambar atas).

Pas tidak pernah menghormati mana-mana pihak walaupun dengan Umno yang kini bersama dengan Pas dalam Muafakat Nasional, kata beliau yang juga Naib Pengerusi AMANAH Kelantan.

“Buktinya tiada sebarang jawatan dan lantikan diberikan untuk rakan taawun (kerjasama) mereka itu berperanan dalam pentadbiran negeri, walaupun mengaku bersepakat dalam MN dari peringkat negeri sehinggalah ke kampung-kampung,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Rushdan yang juga Ketua AMANAH Kawasan Pasir Mas itu berkata, ketika pelbagai pihak menyuarakan teguran dan kritikan berhubung tindak tanduk Pas yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat, kerajaan Pas tetap angkuh.

“Dalam isu saman dan kunci tayar kenderaan di tempat letak kereta, Pas angkuh dengan meneruskan dasar kunci tayar kereta tanpa mengira kewajaran jumlah kemudahan kawasan parking yang disediakan.

“Bagi saya, tiada sebarang timbang rasa ditunjukkan kepada rakyat walaupun adakalanya yang dikenakan tindakan itu adalah rakyat miskin kategori OKU yang sakit,” kata beliau ketika mengulas isu seorang pakcik OKU yang disaman dan dikunci tayar kereta ketika parking di kawasan hospital untuk mendapatkan rawatan kepada isteri yang menghidap sakit kanser.

Jawapan dan sikap pihak Pas juga amat sombong apabila menyatakan bahawa Pas boleh menang bersendirian dan mereka telah menang ketika melawan Umno dalam PRU 14 walaupun bersendirian.

“Bila pemimpin Umno tanya, Pas kena buat pilihan antara Umno atau Bersatu dalam kerjasama politik di negeri, Pas dengan mudah berkata, kita boleh menang bersendirian,” katanya.

Itulah juga sikap pemimpin Pas ketika menerima kritikan dan rungutan dari rakyat yang diluahkan dalam pelbagai medium media sosial berkaitan isu perkhidmatan dan pentadbiran kerajaan.

Antaranya isu bekalan air, penyelenggaraan jalan raya, perkhidmatan PBT yang gagal urus sampah dan longkang, serta banyak lagi masalah yang lain.

“Kesemua kritikan ini tidak dilayan dan tidak dipedulikan oleh Pas,” kata Rushdan lagi.

Oleh itu, beliau menyokong usaha AMANAH untuk bersikap terbuka dan sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan sebuah kerajaan baharu dapat dibentuk.

Kerajaan ini, katanya, hendaklah lebih prihatin kepada rakyat dan lebih cekap mengurus tadbir pemerintahan serta tidak angkuh dengan rakyat.

“Kita perlukan kerajaan baharu bagi menggantikan Pas yang jelas terbukti gagal mentadbir negeri dan angkuh sombong terhadap rakyat kerana terlalu lama berkuasa di Kelantan ini,” kata beliau.