Pemuda AMANAH Perak menggesa mana-mana Ahli Parlimen yang telah ditawarkan habuan untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya segera membuat laporan polis.
Timbalan Ketuanya, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, tindakan itu penting bagi memastikan amalan membeli Ahli Parlimen atau ‘Scheme of Things’ tidak berlaku ketika keabsahan Perdana Menteri sedang teruk dipertikai.
“Jika tawaran ini benar, ia suatu tindakan yang mencemar prinsip demokrasi dan mencemari prinsip-prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang.
“Dalam hal ini Pemuda Amanah Negeri Perak menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara dan menjunjung tinggi prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan yang sudah diamalkan di Malaysia sedari merdeka lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara yang didakwa ditawarkan habuan tersebut adalah Ahli Parlimen Ipoh Barat, Ahli Parlimen Hulu Selangor, Ahli Parlimen Kota Melaka dan Ahli Parlimen Kuching.