Hentikan spekulasi mengenai Ahmad Husni

Hentikan spekulasi mengenai Ahmad Husni

Semua pihak diminta supaya menghentikan sebarang spekulasi mengenai tindakan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang melepaskan semua jawatan dalam Kabinet dan Umno baru-baru ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masyarakat perlu memberi ruang kepada bekas Menteri Kewangan Kedua itu untuk bertenang dan membuat keputusan yang betul mengenai masa depannya.

“Kita perlu menghormati keputusan beliau dan tidak menyebarkan sebarang spekulasi mengenai perletakan jawatannya.

“Saya pun tidak pasti di mana beliau (Husni) berada, kita cuma tahu mengenai perletakan jawatan beliau apabila setiausaha politik beliau mengumumkan perletakan jawatan beliau menerusi laman media sosial,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Syukur Ramadan, Raikan Syawal bersama rakan-rakan media  semalam.Lebih 350 pengamal media mewakili pelbagai agensi percetakan dan elektronik hadir memeriahkan majlis.

Pada Isnin, Ahmad Husni melepaskan semua jawatannya dalam Umno dan hanya mengekalkan jawatan ahli Parlimen Tambun manakala pada Jumaat sebelumnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peletakan jawatan Ahmad Husni sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga menafikan dakwaan bahawa ahli Parlimen Tambun itu meletak jawatan kerana tidak bersependapat dengan kepimpinan negara.

Katanya beliau juga terkejut ketika mendengar perletakan jawatan Husni kerana Bekas Bendahari Umno itu telah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semenjak zaman pemuda Umno lagi.

“Beliau seorang yang setia di dalam parti dan saya yakin beliau tidak akan mengikut jejak langkah Tun Mahathir dengan meninggalkan parti dan berpihak kepada pembangkang,” katanya

COMMENTS

Wordpress (0)