Tindakan segera kerajaan dengan mengumumkan bahawa ‘Operation Surge Capacity’ di mana seluruh warga negeri Selangor dan Kuala Lumpur berumur 18 tahun keatas akan diberikan vaksin dos pertama bagi mengekang penularan Covid-19 adalah disambut baik kerana ia selaras dengan saranan pakar-pakar berpandukan dapatan pemerhatian di beberapa buah negara termasuk United Kingdom.
Menurut Pengerusi Biro Kesihatan, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad, dalam keterujaan menyambut tindakan ini, kita tidak harus lupa bahawa saranan yang sama telah pernah disuarakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Mac 2021 pagi.
“Malangnya, seperti biasa kerajaan gagal untuk mengambil nasihat Anwar dan pakar-pakar lain secara konstruktif demi kebaikan negara. Justeru itu kami mendesak kerajaan supaya segera menghentikan permainan bertindak demi kepentingan politik.
“Seharusnya kerajaan memberi fokus kepada pengurusan Covid-19 secara tuntas dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuklah dari kalangan pembangkang.
“Pada saat ini sebenarnya adalah amat penting Parlimen kembali bersidang sepenuhnya dan isu berkaitan rakyat sebegini dibahaskan dengan sebaik mungkin,” ujar beliau melalui satu kenyataan.
Tambah Dr Ahmad Safwan lagi, seandainya kerajaan gagal menjamin ketelusan dan kejujuran tersebut maka amat wajar sekali bagi Perdana Menteri untuk mengundurkan diri demi kebaikan negara.