Hentikan usaha penambahan hasil negeri yang akibatkan kemudaratan

Hentikan usaha penambahan hasil negeri yang akibatkan kemudaratan

Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Bashah Md Anipah digesa supaya tidak cuba menambah hasil pendapatan negeri dengan membiarkan kemudaratan berterusan sehingga menyusahkan rakyat khususnya penduduk kampung yang miskin.

Menurut Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, isu penerokaan hutan Gunung Inas di Kampung Ulu Mahang, Kulim adalah isu yang telah memudaratkan penduduk sekitar perkampungan tersebut.

Datuk Ir Amiruddin Hamzah

“Kegiatan penerokaan balak telah menggondolkan kawasan kompartmen 20, Gunung Inas sehinggakan memberi kesan buruk kepada penduduk.

“Bekalan air menjadi keruh dan kotor serta menjejaskan hidro elektrik.

“Selain itu aktiviti kuari dan mencuci sungai di Sungai Kangar, Mahang, menyebabkan hakisan yang teruk sehinggakan air sungai tercemar dan keruh, ” jelasnya dalam perbahasan Sidang Dun semalam.

Beliau juga berkata, walaupun hasil yang berjaya diperolehi adalah sebanyak RM16 ribu setahun, namun begitu kerosakan yang berlaku akibat kegiatan tersebut lebih besar dan amat merugikan.

“Ia memberi kemudaratan yang melampau kepada penduduk apabila hujan lebat, kawasan sekitar akan dilanda banjir kerana ekosistem telah diganggu.

“Sepatutnya Perbadanan Menteri Besar Kedah atau PMBKed yang diberi kebenaran untuk melakukan aktiviti membalak tersebut mengambil tindakan segera bagi menyekat kemudaratan yang melampau kepada penduduk.

“Adalah difahamkan lesen membalak yang diberikan adalah untuk membuka ladang hutan bagi tanaman getah berklon balak.

“Tindakan segera harus diambil setelah bukit tersebut digondolkan sehingga mampu mengancam keselamatan penduduk,” ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, kuari pasir darat dan permit mencuci sungai di kawasan tersebut telah menyebabkan enapan yang teruk sehinggakan sungai menjadi cetek dan berkelodak.

Beliau juga berkata, penebangan yang dinamakan sebagai ‘cuci mangkuk’ ini masih belum lagi ditanam semula selepas balak dikeluarkan.

Sebahagian penduduk kampung mengadakan demonstrasi aman membantah projek yang menggondolkan Gunung Inas baru-baru ini.

Malah katanya turut menjadi persoalan ialah di manakah ladang hutan yang dimaksudkan oleh kerajaan negeri.

Oleh kerana itu katanya, kerajaan negeri tidak harus melihat punca pendapatan daripada aktiviti melombong pasir darat tersebut serta pembalakan yang dilaksanakan semata-mata.

Yang lebih perlu diberi keutamaan ialah kehidupan penduduk yang semakin terjejas dan bekalan air yang tercemar sehingga mengganggu keselesaan hidup mereka sehingga kini.

Caption:

Kelihatan jelas air Sungai Kangar, Mahang telah tercemar teruk dan bahaya digunakan oleh penduduk.

Sebahagian penduduk kampung mengadakan demonstrasi aman membantah projek yang menggondolkan Gunung Inas baru-baru ini.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote