Malaysia Dateline

Heret ‘Tuanku’, Hamzah Zainuddin melampau dan biadap

Rakaman audio Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang turut memetik nama ‘Tuanku’ disifatkan satu penyalahgunaan kuasa sekaligus menghina dan mengheret institusi Raja Berperlembagaan untuk kepentingan politik.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Shazni Munir Mohd Ithnin berkata perbualan Hamzah jelas memetik nama ‘tuanku’ sebagai justifikasi untuk beliau menaikkan pangkat anggota PDRM yang mahu dipilihnya.

“Hamzah yang begitu angkuh dengan semberono mengaku bahawa tindakannya itu sebahagian daripada ‘skop kerja’.

“Jika diamati butir demi butir audio yang tular, jelas bahawa Hamzah Zainuddin telah memetik nama ‘Tuanku’

“Tanpa segan silu menggunakan panggilan ‘budak kita’, Hamzah jelas telah berlaku biadab dengan menyalahgunakan nama ‘Tuanku’, sekaligus menghina dan mengheret institusi Raja Berperlembagaan untuk kepentingan politik beliau,” katanya dalam kenyataan.

Suara rakaman audio kini tular melibatkan Hamzah dengan seseorang yang dipercayai sebagai pegawai tinggi anggota PDRM

Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH, merasakan bahawa tindakan Menteri Dalam Negeri ini telah melampaui batas dan satu laporan polis akan dibuat pada hari Selasa, 4 Mei 2021 jam 11 pagi di IPD Dang Wangi.

“Kita mahu penghinaan dan cubaan untuk mengheret nama ‘Tuanku’ oleh Hamzah Zainuddin itu disiasat setelus-telusnya,”katanya.

Tegas Shazni, menteri masih tertakluk kepada undang-undang dan jawatannya bukan tiket untuk disalahgunakan apatah lagi dijaja seolah-olah perlakuan salah itu direstui payung negara.