Malaysia Dateline

Heret Zahidi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara

Majlis Senator Malaysia menggesa agar Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM), Datuk Zahidi Zainul Abidin segera dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara berhubung dakwaan tidak bertanggungjawab terhadap penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin.

Setiausaha Kehormatnya, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, sehingga hari ini Ahli Parlimen Padang Besar berkenaan tidak memohon maaf di Dewan Negara biarpun sudah berjanji akan membetulkan fakta tentang dakwaannya.

Tambahnya lagi, Zahidi juga secara jelas memberi jawapan tidak benar ketika menjawab soalan yang meminta beliau menyenaraikan kawasan di Sabah yang akan menerima manfaat melalui program merapatkan jurang digital menjelang akhir tahun ini.

“Sebaliknya, Datuk Zahidi memberi tumpuan mengulas contoh yang diberikan Senator Datuk Donald Peter Mojuntin iaitu kesusahan seorang pelajar di pedalaman Sabah dalam mendapatkan capaian internet.

“Melalui jawapannya pada 3 September lalu, Zahidi telah menuduh Veveonah sebagai menipu. Beliau kemudian mengemukakan permohonan maaf dan berjanji akan membetulkan fakta tersebut di Dewan yang Mulia pada hari Isnin, 7 September lalu.

“Malangnya, beliau gagal menunaikannya,” tegas Athirah yang juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional dalam satu kenyataan hari ini.

Veveonah pada 4 September lalu menafikan kenyataan palsu Zahidi dan menunjukkan bukti Jadual Peperiksaan Akhir Semester 2, Sesi 2019/2020, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, UMS kepada pihak media.

Justeru itu, kata Aiman, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan perlu memutuskan sama ada Zahidi berkata benar berkenaan dakwaan mendapat maklumat tidak benar ketika memberi jawapan kepada Dewan Negara atau sebaliknya.

“Majlis Senator Malaysia menyokong agar Usul yang dibawa oleh salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Senator Malaysia, Senator Alan Ling diterima untuk dibahas dan diputuskan di dalam persidangan Dewan Negara pada kali ini,” tegas Athirah lagi.