Malaysia Dateline

HFMD: Selangor akan putuskan minggu depan tutup sekolah atau tidak

Kerajaan negeri Selangor akan bermesyuarat minggu ini bagi memutuskan samada akan menutup atau tidak sekolah berikutan penyebaran penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di kalangan kanak-kanak sekarang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, “(Tutup sekolah atau tidak) bergantung kepada saranan jabatan kesihatan negeri. Dalam bab kesihatan awam terutamanya jangkitan berjangkit, jabatan kesihatan negeri memang ada unit penyakit berjangkit.

“Mereka akan umumkan apa langkah susulan.

“Kita lihat kepada kepentingan berdasarkan laporan. Kalau laporan ada banyak sangat kes, kita akan minta untuk jabatan pendidikan turut serta dalam mesyuarat,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Perayaan Aidilfitri anjuran Kumpulan SP Care di Hulu Selangor, semalam.

“Segala laporan yang dikeluarkan adalah daripada jabatan kesihatan negeri.

“Cuma untuk pengawalan bencana dan pandemik, masih lagi di bawah saya selaku pengerusi.

“Minggu depan kita akan buat satu mesyuarat, selain daripada melihat isu pandemik Covid-19, turut kita akan rujuk HFMD,” kata Amirudin.

Sebelum ini dilaporkan sejumlah 6,748 kes direkodkan setakat 7 Mei lalu, membabitkan penularan dalam kalangan 118 kluster dengan 95 peratus daripadanya membabitkan tadika, taska serta pusat jagaan harian kanak-kanak.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sha’ari Ngadiman, berkata trend penyakit HFMD dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu meningkat secara berterusan sejak awal tahun hingga kini.