Malaysia Dateline

‘Hidangan itu biasa sahaja, cuma ada udang galah’

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, beranggapan hidangan mewah yang disediakan untuk ahli Parlimen kerajaan, adalah hidangan yang ‘biasa’.

Menerusi siri hantaran Twitternya hari ini, beliau mengulas laporan media yang mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) bermewah dengan hidangan istimewa sedangkan rakyat pula sedang bergelut dengan kesusahan.

Beliau mengakui, ianya melibatkan tajaan bergilir-gilir, namun menyifatkannya sebagai ‘makanan tengah hari yang sederhana’.

“Walaupun saya tak join lunch (makan tengah hari) itu, saya nampak dalam gambar hidangan biasa sahaja kecuali ada udang galah.

“Lazimnya makan pun buffet saja termasuk Menteri dan Perdana Menteri. Taja bergilir-gilir.

Always simple lunch supaya ahli Parlimen tak payah keluar dari bangunan Parlimen,” katanya.

Terdahulu, isu hidangan makanan mewah mengundang kecaman warganet sehingga didesak Ahli Parlimen pembangkang agar kerajaan menjelaskan dari mana sumber wang yang digunakan untuk hidangan istimewa setiap hari di bangunan Parlimen itu.

Ahli Parlimen Batu, M Prabakaran mendedahkan bahawa hidangan yang melibatkan menu seperti udang galah, ketam dan lain-lain membabitkan anggaran kos lebih RM6,000.

Malah, PN didakwa menyalahguna peruntukan kerajaan dengan menggunakan dana dari kementerian dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengadakan jamuan sesama mereka.

Di Twitter, pengguna Huge Ackman membidas Menteri Wilayah Persekutuan itu dan memberitahu makanan tengahari yang sederhana tidak melibatkan sehingga tujuh lauk pauk seperti yang dinikmati blok kerajaan.

Simple lunch is nasi putih, sayur and ayam goreng. Bukan makan berhidang, ada enam hingga tujuh lauk. How disconnected are you from the reality?,” tulisnya.

Pengguna Khairul Noorkhamar pula berkata, tradisi tersebut perlu diubah dan adalah lebih baik sekiranya kerajaan prihatin dengan menaja makanan kepada mereka yang benar-benar miskin.

“Taja Menteri-Menteri makan supaya mereka tak keluar dewan? Pak Menteri gaji belas ribu. Tak makan seminggu, tak mati pun mereka.

“Saya cadang baik pak Menteri minta GLC atau mereka yang taja itu, pergi taja sarapan mereka yang betul-betul miskin. Tolong ubah tradisi ini,” ciapnya yang membalas Tweet Annuar.