Hidap penyakit hempedu, Siti Bainun mohon mahkamah tangguh hukuman penjara

Oleh KIM SYAZIE

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memohon untuk mahkamah menangguhkan perlaksanaan hukuman penjara 12 tahun ke atasnya.

Permohonan itu adalah untuk membenarkan Siti Bainun dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan bagi hukuman.

Peguam yang mewakilinya, Ahmad Faiz Munawar berhujah kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu menderita penyakit hempedu.

Menurut Ahmad Faiz, tahap kesihatan Siti Bainun juga semakin merudum sejak dimasukkan ke dalam Penjara Kajang pada 3 Mei lepas.

“Kami mohon penangguhan pelaksanaan hukuman ini dapat diberikan kerana semalam pemohon (Siti Bainun) ada mengadu tekanan darahnya meningkat,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache kemudian memaklumkan bahawa keputusan permohonan itu bakal diketahui pada Selasa, 23 Mei depan.

Tarikh itu ditetapkan selepas hakim mendengar hujahan daripada kedua belah pihak iaitu Ahmad Faiz dan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.

“Saya perlu meneliti hujahan kedua-dua pihak dan afidavit yang difailkan khususnya mengenai perubatan pemohon. 

“Saya akan memberikan keputusan pada Selasa ini, jam 2.30 petang,” kata Ahmad Bache pada prosiding yang dijalankan semalam.

Terdahulu, Siti Bainun dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down, dikenali sebagai Bella.

Baca juga: Hadiah paling ‘rare’, cikgu terkejut dapat ayam hutan hidup