Hidap sakit buah pinggang Tahap 4, kucing kesayangan Nabila Huda akhirnya ‘pergi’

Oleh WAN SITI AMINAH

Kucing kesayangan pelakon, Nabila Huda iaitu Aoki akhirnya ‘pergi’ buat selama-lamanya selepas beberapa hari bertarung melawan penyakit buah pinggang yang dihidapinya.

Pemilik nama sebenar Nabila Huda Suhaimi itu berkongsi khabar duka tersebut pada pagi Rabu menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik olehnya di Instagram Story.

Dalam hantaran tersebut, pelakon berusia 40 tahun itu memuat naik rakaman video memaparkan detik pilu ketika mengebumikan haiwan peliharaan kesayangannya di halaman rumah.

“Aoki sudah tak ada, maaf tak boleh nak cakap lagi. I love you sayang (Aoki).

“Selamat tinggal sayang,” luah pelakon terbabit menerusi beberapa siri hantaran di Instagram Story miliknya itu.

Sebelum Aoki menghembuskan nafas terakhir, anak kepada penyanyi rock lagenda iaitu Amy Search itu memuat naik beberapa perkongsian di platform sama mengenai keadaan kucing terbabit yang sangat lemah.

Dalam perkongsian itu, mulut Aoki terlihat tidak berhenti mengalirkan darah sehingga membuatkan Nabila Huda menangis teresak-esak berikutan tidak mampu lagi menahan kesedihannya.

Nabila difahamkan terus membawa Aoki ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut namun malangnya, kucing kesayangannya itu ditakdirkan untuk pergi buat selamanya.

Aoki adalah kucing pertama Nabila Huda yang dipelihara sebelum kelahiran anak tunggalnya iaitu Keisha Laila.

Terdahulu, Nabila mendedahkan bahawa Aoki disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap empat di mana pihak doktor memberikan dua pilihan kepada pelakon terbabit.

Pemilik nama sebenar Nabila Huda Suhaimi itu diberikan pilihan untuk meninggalkan Aoki di hospital bagi tujuan pemantauan ataupun membawanya pulang ke rumah.

Nabila akhirnya mengambil keputusan untuk membawa Aoki pulang ke rumah dan menjaganya sendiri seperti beberapa perkongsian yang dibuat oleh pelakon terbabit di akaun Instagram miliknya.

Sejak Jumaat lalu, Nabila kerap memuat naik video ketika meluangkan masa bersama Aoki termasuklah rutin hariannya dalam menjaga pemakanan dan kesihatan haiwan peliharaan kesayangannya itu.

Baca juga: Sejak mula berlakon sampai sekarang Beto tak pernah ada kelab peminat tapi ‘job’ tak pernah putus