Hidayah Centre anjur rumah terbuka Tahun Baru Cina hari ini

Hidayah Centre anjur rumah terbuka Tahun Baru Cina hari ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hidayah Centre Foundation dengan kerjasama He-Ping Chinese Muslim Society menganjurkan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Seksyen 15, Shah Alam bermula jam 10.30 pagi ini.

Majlis bertemakan “Hasten to Success” itu bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum dan agama serta membetulkan salah faham orang bukan Islam terhadap Islam.

“Justeru, bagi merealisasikan kehidupan yang aman dan harmoni dalam masyarakat majmuk di Malaysia, Hidayah Centre Foundation (HCF) dan He-Ping Chinese Muslim Society mengambil peluang untuk bersama-sama meraikan masyarakat berbangsa Tionghoa melalui Sambutan Tahun Baru Cina.

“Program ini akan membuka ruang kepada pihak penganjur serta masyarakat berbangsa Tionghoa dan lain-lain untuk berkenal-kenalan dan menjalinkan hubungan persaudaraan walaupun berbeza agama, bangsa dan adat kepercayaan.

“Ianya sejajar dengan saranan Islam yang menitikberatkan soal persaudaraan sesama manusia,” kata pengarah program, Morhalim Osman.

Menurut beliau, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyat berbilang kaum dan agama sangat memerlukan interaksi dan persefahaman agar mampu mencari titik persamaan dalam mencapai keharmonian hidup bermasyarakat.

Program yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 2.30 petang itu diadakan di Restoran Mohd Chan, Seksyen 15, Shah Alam.

Majlis akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Cina, talk-show, pameran, cabutan bertuah dan juga pemberian angpau untuk kanka-kanak.

Program ini, kata Morhalim mendapat tajaan utama daripada Restoran Mohd Chan Abdullah serta mendapat sokongan baik daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat Cina terutamanya.

“Pihak penganjur berharap dengan adanya program seumpama ini akan dapat merapatkan jurang di antara masyarakat berlainan kaum dan agama selain memperlihatkan Islam sebagai sebuah agama perpaduan yang meraikan perbezaan,” ujarnya.

TAGS