“Hidup aku aman di rumah mentua, sampailah kakak ipar dan anaknya duduk sekali”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka kehadiran kakak ipar dan anak-anaknya bakal menggugat kebahagiaan yang dikecapi selama ini.

Belum memiliki cahaya mata selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, wanita itu tidak pernah berdepan dengan masalah walaupun tinggal serumah dengan mentua.

Walau bagaimanapun, ketenangan yang dinikmati oleh wanita berkenaan kian hilang selepas kakak ipar dan anak saudaranya itu tinggal bersama di kediaman tersebut.

Mengakui mula merasa tertekan untuk menjalani kehidupan mendatang, berikut kami kongsikan luahan wanita bernama Cahya yang sudah tidak berdaya berdepan ujian.

“Salam semua, saya Cahya. Baru kahwin tiga tahun tetapi belum bercahaya mata. Saya tinggal di rumah mentua. Tiada masalah kerana mentua saya baik. Kehadiran kakak ipar dan anak-anaknya yang buat hidup saya mula bermasalah dan tertekan. Saya tertekan kerana rumah menjadi sangat bersepah. Dapur apatah lagi.

“Selepas makan, meja akan jadi sangat kotor dengan butiran nasi dan kuah yang tertumpah. Kadang-kadang selepas makan, mereka tidak terus basuh pinggan dan membiarkannya sahaja hingga esok pagi. Saya selepas subuh memang tidak tidur sebab akan sibuk siapkan sarapan untuk suami.

“Tetapi kerja saya akan menjadi lambat sebab kena kemas semua yang mereka anak beranak tinggalkan semalam tanpa cuci. Berbulu mata saya tengok dapur bersepah. Sayalah yang kena kemas setiap pagi. Basuh pinggan berlambak. Kakak ipar pula sejenis yang bangun lewat. Saya tak kisah sangat tentang itu.

“Cuma apa yang saya geram, kalau sedar yang malam itu dia dan anak-anak sudah sepahkan dapur, bangunlah awal untuk kemas balik. Ini setiap hari saya terpaksa hadap perkara yang sama. Saya bukanlah orang gaji di rumah ini. Bab makanan pula, setiap kali saya beli susu kotak atau yogurt, saya akan letak di dalam peti.

Tetapi bila waktu saya nak minum susu kotak itu, pasti akan hilang. Saya tak kisah kalau anak-anak dia nak minum. Tetapi tolonglah minta izin dahulu kalau tahu ia bukan kepunyaan mereka. Kakak ipar saya ini seolah tidak ajar anak-anak jangan ambil barang yang bukan kepunyaan mereka.

“Saya bukan berduit, jadi peti sejuk pun berkongsi sahajalah. Tetapi ini tak bermasud barang saya adalah kepunyaan mereka. Saya ada juga meluah kepada suami. Dia faham keadaan dan perasaan saya. Tetapi kami belum mampu buat apa-apa. Sebab belum stabil untuk duduk di rumah lain. Hanya tegur mulut sahajalah yang mampu.

“Tetapi malangnya langsung tidak dihiraukan. Satu lagi, saya duduk rumah mentua ini memang untuk meraikan niat suami untuk jaga mentua. Seperti yang diberitahu lebih awal, mentua saya memang tiada masalah. Kami sangat selesa hidup bertiga. Namun apakan daya, kakak ipar juga menumpang sekali.

“Kadang-kadang kalau datang perasaan jahat, mahu sahaja saya halau mereka. Tetapi apakan daya, ini bukanlah rumah saya. Jadi mampu berdiam sahaja. Lagipun saya tidak mahu hubungan dengan mentua menjadi renggang disebabkan menegur kakak ipar dan anak-anaknya ini.

“Saya sangat tertekan. Doakan saya dapat menjadi lebih kuat dan sabar untuk jalani hari-hari yang mendatang. Saya harap kakak ipar akan keluar dari rumah ini suatu hari nanti. Saya ingin hidup bertiga kembali. Saya juga mahu privasi dan ketenangan di dalam rumah yang bersih. 

“Doakan juga saya akan dapat menimang cahaya mata pertama juga suatu hari nanti. Terima kasih sudi membaca luahan saya.” Kongsi Cahya (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman luahan atas talian.

Baca juga: Panik lihat pintu peti ais tercabut lepas buka, jawapan mak mentua buat wanita terkejut