Hidupkan ceramah kelompok tangani kelemahan penerangan

Oleh ARIF ATAN

Pakatan Harapan (PH) telah masuk tahun kedua sebagai gabungan parti pemerintah. AMANAH sebagai parti komponen PH juga baru selesai melalui Konvensyen Nasional pada awal Disember lalu dan kali pertama menjalani proses pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

Keputusan telah diperoleh dan secara umumnya, barisan 27 calon yang bertanding bersetuju untuk mengekalkan Tuan Haji Mohamad bin Sabu sebagai Presiden sehingga 2022.

Walaupun tidak mendapat perhatian media seperti diharapkan sesetengah pihak, akan tetapi nilai perbahasan yang dibawa oleh para perwakilan bersifat lebih kritikal dan lantang.

Prestasi pimpinan AMANAH sebagai menteri dinilai sehabis mungkin. Tiada yang apologetik untuk mengkritik. Di sebalik kritikan, solusi yang relevan turut dikemukakan untuk memastikan jiwa pengimbang masih wujud dalam parti ini.

Mana-mana pihak dalam PH boleh mengambil sikap defensif dalam mempertahankan prestasi kerajaan hari ini. Mereka boleh menyalahkan daulah terpendam atau ‘deep state’ sebagai tukang sabotaj kepada kelemahan yang berlaku. Boleh juga menyalahkan kerajaan usang Barisan Nasional (BN) jika kehabisan idea.

Akan tetapi semua itu tidak mampu untuk menenangkan perasaan rakyat yang telah memberi peluang kepada PH pada 9 Mei 2018 untuk memimpin negara ini bagi tempoh lima tahun. Seperti belum ada pencapaian yang signifikan dan boleh dibanggakan oleh orang ramai termasuk pendokong PH.

Kalau ada yang berhujah balas mempertahankan kerajaan, itupun dalam kalangan pendokong yang mendapat nikmat. Tetapi jika ditanya kepada ahli-ahli yang bekerja dengan gaji yang relatif rendah, hampir pasti mereka menganggap inilah kerajaan yang dibentuk hanya untuk sepenggal sahaja.

Semasa konvensyen, kelemahan jentera penerangan rasmi kerajaan dibedal secukup-cukupnya yang dianggap menjadi punca ramai rakyat tidak menyedari kejayaan yang telah dicapai oleh Pakatan Harapan.

Begitu juga selepas kekalahan memalukan di Parlimen Tanjung Piai. Isu komunikasi dan penerangan masih dianggap sebagai punca kekalahan sehingga kerajaan dan Pakatan Harapan dilihat begitu lemah dan mudah dibuli oleh pembangkang. Majoriti lebih 15,000 undi menunjukkan di tahap mana kerajaan berada sekarang.

Nampaknya mengambil sikap terus mengkritik sudah tiada membawa sebarang erti. Menyalahkan Menteri Penerangan dan Multimedia, Gobind Singh Deo kerana dilihat begitu lemah memainkan peranan strategik juga sudah diperkatakan oleh semua pihak.

Sesetengah pendokong PH ada yang sudah letih dan rimas untuk terus mempertahankan kerajaan dan kenyataan-kenyataan pimpinan yang langsung tiada impak positif kepada imej kerajaan.

Justeru apa lagi yang perlu dilakukan?

Jika jentera penerangan seperti rangkaian Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak mampu berperanan dengan baik, TV3 dilihat masih bersikap membuli para menteri dalam liputannya, mengapa masih mengharapkan mereka menghormati dan memberikan liputan yang sewajarnya kepada kerajaan PH?

Maka, Pakatan Harapan harus kembali kepada strategi dan kaedah lama. Menghadapi tiga tahun ke hadapan sebelum bahang musim pilihan raya kembali terasa, seluruh komponen Pakatan Harapan sendiri perlu turun padang menjadi ejen penerangan dan komunikasi.

Ceramah-ceramah kelompok perlu dihidupkan semula di setiap kawasan di seluruh negara dengan konsep yang lebih berpusat. Risalah-risalah seperti yang dipraktikkan sebelum ini perlu dibanyakkan.

Ceramah politik merupakan identiti atau budaya politik dalam negara ini. Memang Malaysia adalah negara yang rakyatnya berpolitik 24 jam. Inilah kelebihan budaya politik di Malaysia berbanding negara-negara lain di dunia ini.

Ceramah politik juga memang digemari oleh orang ramai terutama para penjaja kecil yang berhempas pulas menambah pendapatan untuk menyara keluarga.

Kemeriahan malam-malam seperti ini yang mana penariknya adalah ceramah politik mesti dihidupkan semula. Riuh-rendah suara penjaja dan orang ramai yang berkunjung ke gerai-gerai jualan seperti sup utara, kacang rebus, kacang kuda, buku-buku agama, ubat-ubat tradisional adalah kemeriahan yang dirindukan oleh orang ramai.

Jadikan ceramah politik sebagai pesta setiap malam. Kalau orang ramai yang datang tidak mendengar ceramah pun, setidak-tidaknya perut mereka kenyang membaham semangkuk bihun sup utara.

*Penulis merupakan Pegawai Komunikasi Wisma AMANAH Negara.

*Artikel ini kali pertama disiarkan dalam akhbar Mingguan Amanah Bil 184.