Malaysia Dateline

Hidupkan kerukunan sebagai jaminan kepelbagaian kaum di Malaysia

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia segera menghidupkan kerukunan sebagai jaminan kepelbagaian kaum di Malaysia demi menghayati semangat Deepavali.

Beliau berkata, biarpun suasana perayaan sedikit terkesan akibat penularan wabak Covid-19, namun penganut Hindu digesa dapat terus tabah dan sentiasa berwaspada agar negara dapat keluar dari pandemik yang melanda ketika ini.

“Makna besar dari perayaan ini adalah kemenangan cahaya atas kegelapan, benar atas batil, dan juga keadilan atas kebobrokan.

“Perayaan ini juga dimaknai dengan memasang lampu-lampu dan cahaya yang menerangi jalanan dan rumah-rumah.

“Atas semangat Deepavali, kita rakyat Malaysia harus insaf dan segera menghidupkan kerukunan sebagai jaminan kepelbagaian di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu memanjangkan ucapan “Deepavali Nal Valthukal” kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia.

“Mewakili keluarga majmuk Keadilan, saya ucapkan “Deepavali Nal Valthukal” kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia,” katanya Pengerusi pembangkang itu lagi.