Malaysia Dateline

Hidupkan Pemuda AMANAH dengan jiwa Ustaz Fadzil Noor

Kemunculan Ustaz Fadzil Noor dalam arena politik Malaysia merupakan satu rahmat bagi seluruh rakyat Malaysia. Sosok dirinya menjadi pemangkin semangat juang kepada generasi penggerak Pas dan gerakan Islam untuk berjuang seikhlas hati.

Buah fikirannya menjadi panduan kepada seluruh masyarakat dalam menguruskan kehidupan seharian. Ketegasan beliau merempuh tembok perkauman merupakan kejayaan paling besar yang beliau lakukan bersama Pas.

Setiap kali 23 Jun tiba, semua akan mengenang kehilangan Ustaz Fadzil Noor. Kata-kata beliau, video ceramah dan kisah beliau dipaparkan dalam media cetak dan elektronik. Namun, apabila 23 Jun berlalu, kisah beliau tidak dipanjangkan kepada peringkat yang lebih tinggi.

Kita menyokong penuh cadangan Muhaimin Sulam supaya kisah hidup dan politik Ustaz Fadzil Noor difilemkan manakala pemikirannya diangkat menjadi sebuah institusi pemikiran yang gemilang.

Dalam bahagian pertama tulisan ini, saya menceritakan tentang latar belakang Ustaz Fadzil Noor dalam politik termasuk kebijaksanaannya mencatur politik pakatan pembangkang.

Bahagian kedua pula, saya menekankan kepada personaliti, pemikiran dan strategi politik Ustaz Fadzil Noor yang boleh diambil pengajaran oleh kita semua Pemuda AMANAH.

Jika pihak lain tidak berminat untuk mengembangkan pemikiran Ustaz Fadzil, kita sebagai generasi muda yang mendokong falsafah Islam Rahmat Untuk Semua perlu menjadikan pemikiran beliau sebagai prinsip perjuangan kita.

Beribu-ribu orang mendirikan solat jenazah untuk beliau dan sehingga beliau sudah dijemput Ilahi sekalipun, beliau masih berdakwah mengislamkan seorang juruterbang bukan islam.

Ini merupakan satu bukti yang jelas beliau merupakan Murabbi kepada umat Islam dan pemimpin ulung buat masyarakat majmuk di negara kita. Amatlah bermakna, setelah selesai berkonvensyen, kita sebagai Pemuda AMANAH yang baru memulakan perjalanan dakwah dan politik mengambil pengajaran dari pemikiran Ustaz Fadzil Noor.

Antara personaliti, pemikiran dan strategi yang boleh kita ambil dari Ustaz Fadzil Noor ialah:

1. Tegas dalam gelanggang, ramah di luar gelanggang

Ustaz Fadzil Noor mempunyai personaliti yang sangat teguh. Dalam pertempuran politik, beliau sangat tegas dalam mengutarakan pendiriannya. Lihat sahaja kemasukan beliau ke dalam Dewan Rakyat pada tahun 1999, beliau mampu menggegarkan pihak lawannya ketika berbahas.

Bidasan beliau sangat pedas untuk didengari. Beliau tidak akan berganjak dengan pegangannya walau diasak oleh pihak penyokong kerajaan ketika itu. Ketika beliau berceramah politik, beliau akan menegur siapa sahaja yang beliau fikirkan perlu ditegur.

Namun, selepas selesai ceramah atau perbahasan, beliau masih boleh duduk bersama bergurau-senda dengan lawan politiknya. Beliau tidak akan membawa isu-isu politik kepartiannya dalam situasi itu.

Gaya Ustaz Fadzil berpolitik adalah menyatukan bukan memecahkan. Walaupun berbeza ideologi dan pandangan, namun beliau masih boleh bersama pada isu dan masalah yang perlu untuk bersama.

Beliau telah mencorakkan Pas sebagai pembangkang yang bukan bangkang semborono. Namun, bangkang secara fakta dan prinsip tetapi boleh bersama bersatu jika situasi memerlukan.

2. Berfikiran jauh

Ustaz Fadzil Noor selepas dipilih sebagai Yang Dipertua Pas yang kini disebut sebagai presiden telah melancarkan satu slogan ‘Mengulamakkan Profesional, Memprofesionalkan ulamak’.

Kita mengetahui bahawa sejak gelombang perubahan di dalam Pas apabila Pas telah membawa dasar kepimpinan yang baru, iaitu Kepimpinan Ulamak, parti itu dianggotai oleh ramai golongan agamawan.

Apabila Ustaz Fadzil melancarkan slogan ini, ia mendorong kepada golongan profesional di luar parti untuk menyertai Pas. Dari satu sudut, tindakan ini telah memecahkan persepsi masyarakat bahawa Pas hanyalah untuk golongan agamawan semata-mata.

Tindakan ini telah berjaya melebarkan pengaruh Pas kepada golongan yang agak jauh dengan golongan agawaman.

Kedua, kaedah ini, telah membolehkan nilai profesionalisme masuk ke dalam Pas, dimana, sistem pentadbiran dan organisasi Pas berjaya dikemaskan dengan kehadiran golongan profesional ini.

Sehinggakan Pas berjaya mendapatkan sebuah bangunan tersegam indah di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat.

Antara figura yang berjaya diangkat oleh Pas berlatar belakangkan profesional adalah Datuk Hassan Mohd Ali (Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor). Beliau merupakan pakar motivasi yang terkenal.

Selain itu, figura lain adalah Anual Bakri Haron (bekas Setiausaha Politik Almarhum Tuan Guru Nik Aziz) merupakan seorang seniman.

Jika direnung jauh, mustahil golongan profesional ini mampu disatukan dalam Pas, sedangkan parti yang ampuh dan kukuh seperti Umno sedang memerintah, pilihan mereka pastilah parti politik yang sederhana. Namun, pendekatan yang dibawa oleh Ustaz Fadzil Noor berjaya mengangkat kedudukan Pas seiring dengan Umno.

3. Pemimpin yang merendah diri

Jika dilihat kepada gaya Ustaz Fadzil Noor ini dapat digambarkan bahawa beliau merupakan tokoh politik yang membawa perwatakan kebapaan. Pakaian beliau juga tidak meletakkan beliau sebagai orang kenamaan tetapi menjadi insan yang mewakili rakyat marhaen.

Ringkasnya Ustaz Fadzil Noor sangat bersederhana dalam hidupnya. Ustaz Fadzil Noor pernah ditawarkan untuk menerima anugerah gelaran Datuk dari seorang sultan.

Namun beliau menolak tawaran tersebut. Apabila beliau ditawarkan buat kali yang kedua, beliau menerima penganugerahan tersebut kerana tidak sanggup menolak pelawaan sultan tersebut.

Selain itu, semasa beliau memimpin Pas, beliau diapit oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz sebagai Mursyidul Am dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai timbalan presiden.

Kedua-dua tokoh yang mengapit Ustaz Fadzil Noor ini dipanggil dengan gelaran tuan guru atau tok guru. Mereka berdua sangat terkenal dengan ramainya anak murid yang dibimbing ketika berkuliah di masjid.

Disebabkan hal itu, ramai ahli Pas juga memanggil Ustaz Fadzil Noor dengan gelaran tuan guru. Namun, panggilan itu tidak digemari oleh Ustaz Fadzil Noor.

Malah, beliau menegur sesiapa yang memanggil namanya dengan gelaran itu. Beliau lebih gemar dipanggil ustaz sahaja.

Walaupun ketika saat rencana ini ditulis, ia bukanlah tarikh yang istimewa untuk memperingati Ustaz Fadzil Noor, namun saya berpendapat bahawa, nilai-nilai ketokohan yang ada pada Ustaz Fadzil Noor perlu terus diangkat pada bila-bila masa juga.

Hasnul Zulkarnain mengambil alih kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional daripada Sany Hamzan bagi sesi 2019-2022.

Apa selepas konvensyen? 

Pada 8 Disember 2019, AMANAH telah selesai menjalankan konvensyen tahunannya. Konvensyen yang berbeza dari tahun-tahun yang lalu kerana terdapatnya sesi pemilihan kepimpinan, menjadi perhatian umum.

Kehebatan AMANAH adalah walaupun pada sesi pemilihan, AMANAH tetap tenang dan kekal stabil. Pemuda AMANAH terutamanya yang mempunyai dua kumpulan, berjaya disatukan oleh perwakilan itu sendiri.

Kini, telah selesai pemilihan. Semua ahli AMANAH sama ada pemimpin atau pelaksana harus menjalankan gerak kerja yang padu untuk terus memperkukuhkan AMANAH di persada politik tanah air.

Antara tumpuan yang perlu diberikan perhatian oleh AMANAH ialah aspek perkaderannya. Sehingga hari ini, walaupun AMANAH mempunyai dasar yang besar, namun AMANAH tidak mempunyai wadah perkaderan yang rasmi untuk dijalani oleh semua ahli AMANAH pelbagai peringkat.

Antara sukatan yang perlu dimasukan dalam aspek perkaderan AMANAH ialah ketokohan Ustaz Fadzil Noor. Pemuda AMANAH harus menjadi penggerak utama kepada pembinaan modul yang memaparkan nilai-nilai yang ada pada Ustaz Fadzil Noor kepada ahli AMANAH.

Kita percaya, dalam Pemuda AMANAH itu ramai daripada kalangannya adalah bekas ahli Pas, namun tidak kurang juga ahli Pemuda AMANAH itu yang baru pertama kali menyertai parti politik.

Ada juga dalam kalangan mereka yang belum pun lahir ketika Ustaz Fadzil Noor memimpin Pas. Hal ini menyebabkan, ramai dalam kalangan anak muda termasuk ahli Pemuda AMANAH yang tidak mengenali secara dekat siapa Ustaz Fadzil Noor.

Oleh itu, baik sekiranya Pemuda AMANAH memasukkan ketokohan Ustaz Fadzil Noor ini dalam modul perkaderan yang akan dijalankan oleh Pemuda AMANAH.

Pesanan isteri Ustaz Fadzil Noor kepada pengikut-pengikutnya adalah: “Tugas pengikut almarhum bukanlah hanya memperingatinya tetapi yang lebih penting, menterjemahkan nilai-nilai yang almarhum bawa ke dalam perjuangan.”

Apa tausiah yang boleh Pemuda AMANAH ambil agar dijadikan pelita untuk meneruskan perjuangan dalam AMANAH? Begitu banyak, nilai ketokohan beliau itu sudah cukup menjadi pedoman untuk kita sabagai penggiat politik muda.

Ustaz Fadzil Noor berjaya membawa naratif baharu kepada Pas dan naratif itu berjaya menjadikan Pas kekal relevan dalam arus politik semasa. Ustaz Fadzil Noor bercita-cita besar untuk melihat Pas menjadi parti pilihan seluruh masyarkat majmuk.

Walaupun Ustaz Fadzil Noor ditentang oleh sebahagian pemimpin yang tidak menggemari naratif yang dibawanya, tapi beliau tetap istiqamah dengan kuasa yang ada sebagai presiden untuk melakukan perubahan kepada partinya.

Begitulah kita sebagai Pemuda AMANAH sebgai antara sayap utama yang menggerakan AMANAH harus kekal konsisten untuk membawa pendekatan kita iaitu Islam Rahmatan Lil Alamin yang ternyata amatlah baru dalam kalangan masyarakat.

Tahap kefahaman masyarakat yang rendah terhadap pendekatan ini sukar untuk membuatkan mereka menyokong AMANAH.

Pada saat pihak lawan sedang menggunakan isu perkauman sebagai modal utama mereka, Pemuda AMANAH harus merempuh tembok ini dengan menyebarluaskan nilai pendekatan kita kepada khalayak ramai.

Amalan dan penerangan akan dijadikan senjata utama Pemuda AMANAH untuk menambat hati masyarakat. Pedoman lain, akan saya masukkan dalam Modul AMANAH yang sedang dibina.

Kesimpulannya, dengan adanya sebuah program yang formal dan tetap, dijalankan oleh pihak AMANAH terutama Pemuda AMANAH memfokuskan kepada ketokohan Ustaz Fadzil Noor, program itu pula akan menjadi wadah kepada ahli AMANAH menerima segala nilai-nilai yang ada pada Ustaz Fadzil Noor.
Diharapkan AMANAH akan terus menjadi sebuah parti yang kukuh pada masa hadapan.

 

*Penulis merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak.

 

Pemuda AMANAH perlu memasukkan ketokohan Ustaz Fadzil Noor dalam modul perkaderan.