Malaysia Dateline

Hijrah dan cabaran wanita berdepan pandemik Covid-19

Perutusan Ma’al Hijrah 1443
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara, Parti Amanah Negara (AMANAH)

10 Ogos 2021/ 1 Muharram 1443

Penghijrahan RasululLah ﷺ lebih 1400 tahun yang lalu dari Kota Makkah ke Kota Madinah dan seterusnya mendirikan negara Islam pertama di sana, telah meninggalkan kepada kita Ibrah (pengajaran) daripada pelbagai sudut.

Baginda ﷺ menanamkan sifat-sifat persaudaraan, perpaduan, bantu membantu, pengorbanan, kesungguhan, kasih sayang dan ketaqwaan di dalam sanubari umat ketika itu khususnya antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Semua itu adalah antara persediaan baginda ﷺ menghadapi cabaran dan ujian yang datang samada daripada kaum Musyrikin Quraisy, golongan munafik, tipu daya iblis, bahkan daripada hawa nafsu mereka sendiri.

HIJRAH mengajar kita betapa pentingnya bersikap tabah, lapang dada, amanah, komited, rahmah, berjiwa besar, sabar, berhati cekal dan punya keyakinan yang tinggi kepada AlLah dan Rasul ﷺ sepertimana yang dizahirkan oleh kaum Ansar dan khususnya kaum Muhajirin ketika mana mereka berhijrah dengan merasai perit jerih, payah, derita, kehilangan harta dan keluarga, bahkan penyeksaan fizikal dan mental.

Segala pengajaran itu amat penting dalam pembentukan jiwa yang kental dan taqwa, dan ini perlu dibangunkan semula secara serius khususnya oleh para wanita dalam peranan kita samada sebagai Pemimpin, Pendidik, Opah, Ibu, Saudara Perempuan dan apa sahaja untuk generasi muda masa kini dan akan datang.

Ketabahan dan kecekalan berteraskan semangat HIJRAH dan berdasarkan niat serta keyakinan yang tinggi bahawa janji-janji kemenangan dan pertolongan AlLah itu pasti benar, akhirnya telah berjaya menghancurkan keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur punah.

Tidak ada mana-mana bangsa dan ummah yang mampu menerajui dunia, sekaligus menjadi contoh kepada yang lain tanpa memiliki kekuatan ilmu pengetahuan dan pengalaman.

Cabaran pandemik Covid-19 telah mendorong manusia agar lebih pantas dan cekap menyesuaikan langkah-langkah ke hadapan, dan hakikatnya telah mempercepatkan lagi proses, pengaruh dan kesan daripada Revolusi Industri 4.0.

Dalam hal ini, Wanita perlu cekap berperanan menjadi agen pencetus dan pengimbang mandiri sosial serta jati diri manusia bagi memastikan pembinaan generasi manusia yang leluhur dapat terus dijayakan, bukan sebaliknya sekadar menduplikasi atau memanfaatkan kecekapan robot ke dalam kehidupan manusia, yang kemudiannya menghilang jiwa dan potensi manusiawinya.

Ini peranan besar dan mencabar yang harus disedari oleh para wanita khususnya, tidak kira mereka berdiri di posisi mana.

Tugas dan tanggungjawab wanita lebih mencabar kini, kesan pandemik Covid-19 telah mengubah kebanyakan norma, proses dan jalur hidup manusia.

Daripada cara fikir, cara hidup, cara bekerja, cara berinteraksi, cara bersosialisasi, cara belajar dan segalanya – wajib kita tekuni dan santuni tertib, agar ujian pandemik Covid-19 ini sama sekali tidak mengurangkan nilai, kualiti, empati, keberkesanan dan potensi manusiawi setiap manusia dalam asuhan dan didikan para wanita.

Semoga kita dapat sama-sama melihat semua ini secara sedar, serius, wajar dan bugar, supaya kita dan generasi asuhan kita tidak tertinggal dan menjadi sejarah generasi yang hilang.

Ya, pada setiap zaman dan kehidupan akan ada sahaja cabaran, dan kita sedang melalui ujian dan cabaran pada kehidupan dan zaman kita. Kita sangat beruntung kerana diberikan AlLah pengalaman untuk melalui ujian kesan bawaan pandemik ini.

Hikmahnya besar jika kita redha. Justeru, Hijrahkan juga perasaan kita yang jika sebelumnya kurang redha kepada redha, maka berdamailah dengan ujian AlLah ini agar kita mampu terus mengatur langkah ke hadapan dengan lebih tabah dan wibawa.

Penting untuk para wanita sekalian memastikan diri senantiasa berfikiran positif dan terus memainkan peranan berkesan sebagai sebahagian utama samada dalam keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Kita adalah apa yang kita fikir, ucap, tindak dan hijrahkan!

وَمَنْ يُّهَا جِرْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ يَجِدْ فِى الْاَ رْضِ مُرٰغَمًا كَثِيْرًا وَّسَعَةً ۗ وَمَنْ يَّخْرُجْ مِنْۢ بَيْتِهٖ مُهَا جِرًا اِلَى اللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ اَجْرُهٗ عَلَى اللّٰهِ ۗ وَكَا نَ اللّٰهُ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan AlLah, nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada AlLah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi AlLah. Dan (ingatlah) AlLah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisa’ 4: Ayat 100)

Salām Hijratul Rasul ﷺ

“Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”

#ImanIhsanItqan
#MatiItuMotivasi
#PandemikCovid19UjianAlLah
#MajuTerus!

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI

Kuala Lumpur,
10 Ogos 2021/ 1 Muharram 1443