Malaysia Dateline

Hikayat Tiga Negara bermula di Melaka

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang telah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) telah menjadikan pertembungan tiga penjuru antara gabungan parti sebagai norma baharu politik Malaysia, terutamanya untuk pilihan raya umum akan datang.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memperolehi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

BN dilihat seolah-olah telah menang besar apabila ia berjaya memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Namun, apabila kita meneliti keputusan PRN ini dengan lebih terperinci, ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik keputusan itu.

Kawasan kecil, majoriti kecil

Saya pada mulanya menjangka PH akan menang lapan kerusi dengan andaian DAP akan mengekalkan DUN Duyong dan Pengkalan Batu. Kedua-dua kerusi bandar ini masing-masing mempunyai 60% dan 65% pengundi Melayu.

Namun, DAP tewas di Duyong dengan majoriti 200 undi dan Pengkalan Batu 131 undi. Saya juga menjangkakan PKR akan menang di Paya Rumput tetapi parti itu telah tewas dengan majoriti 629 undi. PH hanya menang lima kerusi.

Fakta yang tersirat di sebalik PRN Melaka ialah persaingan sengit pelbagai penjuru di kebanyakan DUN yang kecil jumlah pengundi masing-masing.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, pemenang-pemenang di 10 kerusi marginal memperolehi kurang daripada 5,000 undi majoriti secara keseluruhannya.

Umno menang tujuh kerusi dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi manakala PH tiga kerusi.

Dalam PRN Melaka 2021, jumlah itu meningkat apabila 13 daripada 28 kerusi dimenangi dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi.

Keputusan tersebut menunjukkan kerusi-kerusi ini mudah bertukar tangan dalam pilihan raya akan datang. Ia juga membuktikan kemenangan Umno di Melaka tidaklah meyakinkan sangat.

Sekiranya ada kelonggaran sekatan kempen fizikal dan setiap gabungan yang bertanding menggunakan pendekatan taktikal yang berbeza di setiap kerusi, keputusannya mungkin berbeza.

Walau apa pun, yang menang tetap menang. Kita akur dengan keputusan ini.

Kejutan Perikatan Nasional

PN telah mendapat peratusan undi yang lebih besar daripada apa yang saya jangkakan. Dalam keadaan di mana peratusan keluar undi PRN Melaka 202 ini lebih rendah berbanding PRU 2018, peratusan undi BN kekal tetapi PN telah “mencuri” undi PH.

Pada 2018, jumlah keseluruhan undi diterima adalah 413,156 berbanding 319,689 undi pada 2021.

BN yang memperolehi 156,318 undi pada 2018 telah berkurangan menjadi 122,741 undi pada 2021. PH yang menerima 211,153 undi pada 2018 hanya mendapat 113,968 undi pada 2021, iaitu kadar penurunan yang besar berbanding BN.

Undi yang diperolehi BN ialah 37.84% pada 2018 dan ia hanya meningkat sedikit sahaja menjadi 38.39% pada 2021. Sedangkan PH yang mendapat 51.11% undi pada 2018 telah turun mendadak menjadi 35.65% pada 2021.

Pas hanya memperolehi 10.78% undi pada 2018 tetapi pada 2021, PN yang kini turut dianggotai Pas sebagai parti komponen telah mendapat 24.47% undi.

Menerusi analisis keputusan ini, Umno memenangi PRN ini dengan menggerakkan jentera dan pengundi tegarnya tetapi gagal mendapatkan sokongan muda, baharu dan atas pagar. Undi PH pula telah beralih kepada PN-Bersatu, dan bukannya Umno.

Tinjauan rambang mendapati terdapat peralihan undi Melayu, khususnya pengundi muda yang menolak Umno untuk beralih kepada PN. Jelas sekali, tiada sebarang kebangkitan baharu untuk Umno-BN.

PRN Melaka menunjukkan kehadiran PN tidak boleh dipandang ringan. Kemenangannya di DUN N.11 Sungai Udang mengejutkan banyak pihak.

Selama ini, kerusi ini yang mempunyai lebih 40% undi tentera sentiasa menjadi kubu kuat Umno. Keupayaan PN memikat hati pengundi tentera menyerlahkan dinamik baharu bagi politik Malaysia.

Pertembungan tiga penjuru

Walaupun trio pemimpin Umno – Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Zahid Hamidi, dan Datuk Seri Utama Mohamad Hassan – berusaha menyingkirkan Bersatu daripada gelanggang politik, PRN Melaka telah memberi talian hayat baharu buat PN.

PN menerima 24% undi di Melaka biarpun pengaruh Pas adalah terhad di negeri-negeri selatan Semenanjung.

Dengan ini, negeri dan kawasan majoriti Melayu seperti Kedah, Terengganu, utara Perak dan timur Pahang yang mempunyai pengaruh Pas yang kuat, PN bakal menjadi pencabar sengit buat Umno.

Berdasarkan keputusan PRN Melaka, kemungkinan besar Umno dan Bersatu tidak akan kembali bersama.

Trio pimpinan Umno mahu PRU diadakan segera, seperti yang dinyatakan oleh Mohamad Hassan.

Mereka akan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin pada suku pertama 2022. Ismail pula tentunya tidak mahu membubarkan Parlimen begitu awal kerana beliau baru sahaja menjadi Perdana Menteri.

Walaupun menjadi rakan separti, Ismail bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, dan beberapa pemimpin Umno, dilihat tidak sehaluan dengan trio Umno yang mengawal teras parti.

Apa yang dibayangkan dalam karya klasik Cina, Hikayat Tiga Negara, yang berkisar tentang perebutan kuasa tiga penjuru pada zaman Dinasti Han lebih 2,000 tahun lalu, ia kini sedang menjadi kenyataan di Malaysia.

Sekiranya trio pimpinan Umno tidak berjaya mendesak pelaksanaan pilihan raya di peringkat Persekutuan, adakah mereka akan cuba mendesak negeri-negeri yang ditadbir Umno seperti Johor dan Perak untuk mengadakan pilihan raya negeri?

Apabila Umno mendesak Ismail nanti, apa yang akan beliau lakukan? Apa pula tindakan parti-parti lain? Itu persoalannya.

PRN Melaka mungkin dapat menyelesaikan dilema politik negeri itu buat sementara. Tetapi, ia telah mencetus lebih banyak persoalan dan masalah di peringkat nasional, termasuklah nasib kerjasama di antara BN dan PN, dan juga masa hadapan PH.