Malaysia Dateline

Hikmah episod pembelotan pengkhianat, Pas berdepan realiti politik

Berilah ruang dan peluang kepada Pas untuk perlahan-lahan belajar, memahami dan saling bekerjasama dalam kerajaan ‘tebuk atap’ tanpa mandat rakyat, tanpa manifesto dan tanpa apa-apa janji pembaharuan.

Pas juga pernah bersama-sama menerajui kerajaan Selangor, dan menjadi menteri besar di Kedah-Perak. Lihatlah perubahan yang dilakukan dalam tempoh itu, terutama dalam konteks agenda Islam; berhati-hati dan begitu teliti menjaga sensitiviti kemajmukan Malaysia.

Kini, selepas Presidennya sendiri mengaku menjadi penggerak penting penubuhan kerajaan pintu belakang Melayu-Islam, Pas mempunyai tiga menteri, satu duta khas bertaraf menteri, dua kerajaan negeri dengan majoriti selesa dua pertiga, kita tunggu saja komitmen Pas untuk melaksanakan segala cita-citanya berkaitan Islam-Melayu.

Menteri Undang-Undang sekarang adalah Setiausaha Agung Pas, seorang peguam, kepercayaan rapat Ustaz Abdul Hadi Awang. Ini masa terbaik untuk membentangkan RUU355 selepas lama mendesak dan berdemonstrasi di padang, berhujah di kuliah dan mimbar (sehingga “menjiratkan” pemimpin tertentu Pakatan Harapan), tetapi terbengkalai di Parlimen walaupun sudah ada peluang berkali-kali.

Masyarakat juga menanti respons Pas terhadap persoalan kilang arak, premis judi, sekolah vernakular yang sering dibangkitkan, selain sentimen Melayu-Islam yang dibakar (termasuk kematian Adib, pengajaran Jawi, pengurusan Tabung Haji dan lain-lain) sebagai modal politiknya untuk meraih kuasa dan menyuburkan kebencian kepada kerajaan terdahulu.

Walaupun Pas tidak diberikan portfolio strategik dalam Kabinet Muhyiddin-Azmin, tetapi Pas tentu sekali menyedari atas prinsip tanggungjawab bersama kerajaan.
Mesyuarat mingguan jemaah menteri sewajarnya menjadi medan terbaik buat menteri-menteri Pas menyuarakan idealisme perjuangan Islam selama ini. Tidak pasti pula peranan Ustaz Hadi; mungkin boleh lebih kerap menulis surat cadangan kepada Muhyiddin, bagi mengangkat maruah bangsa dan martabat ummah.

Tiada lagi halangan daripada DAP yang “anti-Islam” itu, manakala wakil MCA-MIC tidak pun sampai jumlah jari sebelah tangan; boleh abaikan saja jika mereka membantah.

Saya sendiri keliru; jika PH ada Majlis Presiden untuk menggariskan dasar-dasar umum kerajaan, Perikatan Nasional (PN) yang merompak kuasa di tengah penggal ini, apa pula strukturnya?

Kerajaan baharu sepatutnya jelas iltizam politik dan tekad pembaharuannya, tetapi pemerintah yang terbina melalui komplot jahat pengkhianat-oportunis ini masih gagal mengemukakan agenda mereka.

Malah, sebahagian besar menteri dalam Kabinet bersaiz gendut itu langsung tidak muncul di khalayak; yang sesekali tampil pula menjadi bahan sendaan dengan aksi melucukan.

Kita tidaklah mengharapkan prestasi luar biasa pada awal tempoh pemerintahan ini, tetapi biarlah rakyat jelas dengan perubahan-perubahan khususnya berkaitan segala kritikan dan kecaman Pas semasa mengherdik kerajaan lampau.

Masyarakat belum lupa hamburan kata-nista itu. Isu-isu berkaitan arak-judi-syariah hanya sebahagian kecil.

Apapun, saya melihat ada hikmahnya episod pembelotan pengkhianat dan kerakusan ahli-ahli parlimen Umno-Pas ini yang tidak sabar menunggu PRU15. Terutama Pas, mereka kini berdepan realiti politik dan tidak dibayangi mimpi lagi.

Mereka mungkin sedang belajar menyusun prioriti dan keutamaan. Mereka perlu menerangkan kepada para penyokong yang sudah termakan dengan dakyah-sentimen selama ini.

Mungkin ludah terpisah dijilat. Tapi saya lebih percaya, Pas sentiasa ada dan tidak kering ilham mereka untuk justifikasi apa pun isu yang dibangkitkan.

Berpolitiklah seadanya, tangani isu-isu yang lebih real dan mendesak bagi negara tercinta. Moga iklim politik kita lebih terbuka, rasional, harmonis, berdasarkan fakta, saling hormat, beradab, terhindar daripada ekstremisme dan caci-maki. Bersainglah merebut kuasa dalam batas-batas demokratik.

Saya sedang menjalani dialisis, jika kuat akan sambung lagi ulasan ini, Insya Allah. Semoga kita semua, diri, keluarga, jiran, negara, rantau ini, planet bumi sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah.