Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud menyeru agar masyarakat membetulkan tanggapan apabila menyentuh isu zina yang dilihat lebih cenderung menyalahkan golongan hawa semata-mata.
Menurutnya, sikap berat sebelah dengan menumpukan kepada pihak perempuan jika berlaku kes kehamilan luar nikah tidak membantu kepada penyelesaian sebenar gejala sosial itu daripada terus berleluasa.
“Kita riuh sekampung kalau perempuan hamil tapi yang menyebabkannya lelaki. Ini agak bias dalam masyarakat kita kerana hanya tertumpu pada anak perempuan.
“Yang terima tamparan hebat wanita. Kita kena betulkan sisi pandang ini kerana hilang dara dan hilang teruna adalah dosa zina. Kedua-duanya sama,” tegasnya dalam forum Bicara Hati Wanita di Taman Dahlia, Johor Bahru pada Sabtu.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kota Raja tersebut mengingatkan aspek pendidikan berkaitan akhlak juga mesti turut menekankan peranan dan tanggungjawab golongan lelaki.
Mengulas kedudukan Malaysia dalam senarai 10 negara di dunia mencatatkan kes kehamilan remaja paling tinggi, beliau berkata, perempuan menanggung beban psikologi yang berpanjangan walaupun kehamilan itu berlaku tanpa kerelaannya.
Untuk rekod, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mendedahkan Malaysia berada di tangga keempat daripada 10 negara di dunia yang mencatatkan kehamilan remaja berusia 15 hingga 19 tahun tertinggi bagi tahun 2011-2015.
“Pendidikan juga perlu tekankan pada lelaki. Orang perempuan (Kaum ibu) mesti faham kita mendidik anak lelaki dan perempuan.
“Kalau tidak, kita sibuk jaga anak remaja perempuan tapi anak lelaki dibiar bebas buat kesalahan tanpa rasa tanggungjawab.
“Kanak-kanak perempuan yang tidak tahu apa-apa seawal lima, enam tahun juga telah dinodai. Mereka rasa tidak suci, sedangkan yang buat (memperkosa) itu lelaki yang kadang-kadang orang terdekat dengan dia,” tegasnya di Warong Nasi Beriani Wak Saadon.

Dr Siti Mariah turut menegur sikap segelintir ibu yang mengarahkan anak remaja mereka yang menjadi mangsa kehamilan luar nikah supaya tutup mulut demi menjaga nama baik keluarga.
“Hilang dara bukan hanya atas dengan kerelaan wanita saja. Bahkan yang kena juga, adalah yang lebih muda. Ini (hilang dara) bukan masalah orang perempuan tapi juga masalah teruna dan lelaki,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Ketua AWAN Johor, Norhayati Bachok berkata, statistik Jabatan Perangkaan berkaitan kes anak luar nikah bagi tahun 2005 hingga 2009 amat mengejutkan.
Menurutnya, kategori kaum-kaum lain yang terbabit dalam anak luar nikah sebanyak 91,922 kes manakala Melayu (74,723), India (23,666) dan Cina mencatatkan sejumlah 23,692 kes.
“Jangan terlalu menyalahkan takdir dan diri sendiri. Setiap yang terlibat kena meneropong diri. Jika tidak melepasi trauma ini, akan membawa tekanan berpanjangan termasuk ahli keluarga juga menghadapi trauma yang sama,” ujarnya.
Turut menjadi ahli panel dalam forum yang dimoderatorkan Norhayati Bidin itu ialah tenaga pembimbing Rumah Perlindungan Wanita Baitus Solehah, Ustaz Mohd Afdal Zaaba.