‘Hilang’ daripada media, Muhammad Aiman mohon maaf

‘Hilang’ daripada media, Muhammad Aiman mohon maaf

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali memohon maaf kepada petugas media susulan ‘kehilangannya’ pada siri kempen pada Isnin.

Beliau berkata kemungkinan berlaku masalah teknikal berhubung penyaluran makluman aktiviti berkempen hingga menyebabkan ramai petugas media gagal membuat liputan jadual kempennya.

“Saya mohon maaf, mungkin berlaku masalah komunikasi antara team (jentera) saya dengan pihak media hingga tidak mendapat jadual aktiviti kempen saya hari ini,

“Saya pun perasan hari ini, tak ada media yang ikut, rasanya hanya ada beberapa sahaja (media) ketika di masjid, ” katanya kepada pemberita ketika sesi tinjauan mesra di tapak pasar malam dekat Bandar Rinching.

Beliau menjelaskan, aktiviti kempennya tetap berlangsung seperti biasa hari ini termasuklah sempat menziarah kematian dua penduduk di Semenyih selain menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi parti, di Kuala Lumpur.

Hari ini, Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ‘hilang’ daripada radar liputan media hingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengamal media yang bertugas pada PRK itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Aiman turut menepis dakwaan ketiadaannya adalah disebabkan tertekan dan penat berikutan jadual kempen yang padat.

‘Tidak, tidak. Itu tidak betul (dakwaan berasa tertekan), saya ada sahaja berkempen. Saya ada empat hari lagi untuk berkempen, mana boleh berhenti..kita akan all out’,” katanya.

Hari pengundian ditetapkan Sabtu ini manakala esok, proses pengundian awal akan berlangsung membabitkan seramai 858 anggota dan pegawai polis di dua pusat pengundian awal iaitu di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

PRK Semenyih menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman menentang calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas’, Kuan Chee Heng.- BERNAMA