Malaysia Dateline

Hilang majoriti: Muhyiddin perlu segera menghadap Agong

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mematuhi Perlembagaan Persekutuan dengan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah susulan hilangnya majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

Semalam, Pengerusi Umno Kelantan merangkap Ahli Parlimen Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu bahawa pada hemat Baginda, dia mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Kini Ahli Parlimen Machang telah menarik balik sokongan. Dalam keadaan ini, elok kita rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sekali lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hassan Karim

Beliau turut memetik Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, ‘Jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Agong.’

Sehubungan itu, Hassan menegaskan peruntukan tersebut begitu jelas dan Muhyiddin perlu mematuhinya sebarapa segera.

“Muhyiddin semasa mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berikrar akan mempertahankan Perlembagaan.

“Inilah masanya untuk membuktikan ikrar dan sumpah jawatan tersebut,” ujarnya.

Sokongan yang dimiliki Muhyiddin pada masa ini berkurang kepada 110 daripada 220 ahli Parlimen.

Dua daripada jumlah keseluruhan Dewan Rakyat kosong kerana kematian wakil penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) hanya memiliki 91 Ahli Parlimen manakala 17 Ahli Parlimen pembangkang lagi tidak menyertai mereka.

Dalam masa sama, Hassan juga membangkitkan tindakan Muhyiddin yang dianggapnya mengelak untuk pembentangan usul tidak percaya dan usul percaya terhadapnya sepanjang menjadi Perdana Menteri.

“Perkara paling hampir yang boleh ditafsirkan sebagai undi percaya kepada Muhyiddin ialah pengundian untuk Belanjawan 2021.

“Undi paling tinggi yang menyokong belanjawan diperolehi pada 15 Disember semasa belah bagi bacaan ketiga.

“Kerajaan PN (Perikatan Nasional) mendapat 111 undi manakala pembangkang mendapat 108 undi.

“111 undi yang diperolehi ketika itu adalah termasuk sokongan Ahmad Jazlan,” tambah wakil rakyat PKR itu lagi.