Malaysia Dateline

Hilang maruah dituduh pelacur, Pas rendahkan pemikiran penyokong

Pas pada masa ini jauh daripada apa yang diperjuangkan bekas Mursyidul Am parti itu, Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat, tegas Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu berpendapat Pas bahkan tidak berani membantah istilah ‘pelacur’ yang dilemparkan terhadap parti itu oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Pas pada masa ini juga hilang maruah apabila dituduh sebagai pelacur. Apabila Pas dilabel pelacur, kamu (Pas) tidak berani lawan. Mengapa tidak saman?

“Malah, pemimpin Pas jawab tidak faham maksud istilah ‘pelacur’ yang dilemparkan. Pemimpin Pas merendahkan mentaliti orang Pas sendiri.

“Ahli Pas hari ini hilang arah,” katanya dalam Bicara Semasa menerusi JOM Channel sebentar tadi.

Faiz Fadzil

Baru-baru ini, Tengku Razaleigh atau Ku Li melabel Pas sebagai ‘pelacur’ dan menggesa Umno menewaskan parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kata Ku Li, gelaran Pas sebagai ‘pelacur’ itu kerana sering kali beralih sokongan antara DAP dan Semangat 46, iaitu parti serpihan Umno yang diterajuinya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, Pas yang kini sebahagian komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga telah bersekongkol dengan kleptokrat dan sekumpulan pengkhianat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Apa yang ketara Pas sanggup berkongsi kuasa dengan penyamun dan pengkhianat. Apa yang berlaku pada hari ini tidak sama ketika zaman Almarhum Nik Aziz dulu.

“Almarhum tegas dengan soal integriti,” tegasnya yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu.

Faiz turut membidas sikap Pas berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan bulan lalu bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan hukum tabii, adalah tidak sah.