“Hilang mood pindah rumah baru, boleh pulak dia bersarang bawah tu”

Oleh KIM SYAZIE

Hasrat untuk beristirehat di rumah yang baru diduduki terbantut apabila sebuah keluarga ‘terserempak’ dengan ular tedung.

Kejutnya bukan kepalang, reptilia berbahaya yang bersarang di sebuah rumah bertempat di Krabi, Thailand itu berukuran sepanjang lima kaki!

Difahamkan, ular tedung tersebut dijumpai ketika ia sedang bersembunyi di bawah singki di dalam bilik mandi kediaman tersebut.

Walaupun mengambil masa, untungnya pihak berkuasa tidak mengalami masalah ketika menangkap ular itu, lapor NowThis News.

“Ular itu telah lama bersarang dan tinggal di sana untuk beberapa waktu sebelum keluarga itu berpindah di kediaman tersebut.

“Tiada siapa yang cedera apabila menemui ular itu, dan penyelamat dapat mengalihkan dan menempatkan semula ular tedung itu dengan selamat,” lapornya.

Walaupun kejadian tersebut berlaku di luar negara, rakyat Malaysia juga perlu berhati-hati terutamanya di cuaca yang panas ini.

Selain mencari udara yang lembab, ular gemar mencari perlindungan di kediaman manusia untuk mendapatkan bekalan air.

Sebagai langkah berjaga, pemilik kediaman boleh menabur belerang di sekeliling rumah bagi menghalang haiwan itu masuk.

Petua lain yang dikatakan berkesan adalah dengan menanam pokok limau purut atau limau kasturi kerana ular benci akan baunya.

Baca juga: Baru tahu IC orang Sabah Sarawak dengan semenanjung ada beza, siap ada keistimewaan lagi