Hilang RM45k sekelip mata, pelakon tak sangka jadi mangsa ‘phone scam’

Oleh MAISARAH AISYA

Pelbagai tipu daya dilakukan pihak tak bertanggungjawab untuk mendapatkan duit dalam masa yang singkat daripada mangsa.

Jika dahulu ada sahaja panggilan masuk kononnya nama sudah disenarai hitam dan kita perlu ‘transfer’ duit untuk elak ditahan polis.

Kini timbul pula cara baru kononnya ada barangan yang akan dihantar dan kita perlu membayar mereka seolah-olah bayaran tunai semasa penghantaran atau COD.

Menurut Harian Metro, wang simpanan pelakon Azim Yusof sebanyak RM45,000 ‘hangus’ selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon atau ‘phone scam’.

Azim berkata, ketika kejadian dia seolah-olah sedang dipukau apabila mengikut segala arahan individu tidak dikenali itu sehingga membuat dua transaksi.

“Ketika menerima panggilan telefon itu malam tadi saya seperti dipukau apabila mengikut segala arahan individu terbabit sehingga membuat transaksi ke mesin pengeluaran automatik (ATM).

“Saya hanya tersedar selepas saya pulang ke rumah dan mendapati duit simpanan saya ‘lenyap’ semuanya. Ketika kejadian itu saya membuat dua transaksi iaitu melalui ATM dan online.

“Nak kumpul duit sebanyak itu dalam keadaan tawaran lakonan yang tidak menentu bukan senang. Sampai sekarang saya masih buntu dan hilang arah.

“Saya yakin saya dalam keadaan tidak sedar kerana saya sedia maklum dan sering membaca berita mengenai individu yang menjadi mangsa Scammer ini,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Bimbang akan kejadian tersebut, Azim dikatakan telah membuat laporan polis, rupanya sudah banyak mangsa yang alami benda sama.

“Saya dihubungi individu yang mendakwa dari Pejabat Pos Laju dan memaklumkan terdapat bungkusan dari Perlis ke Sarawak.

“Individu itu memberitahu terdapat bungkusan yang tertera gambar dan kad pengenalan saya.

“Kemudian saya disambungkan kepada polis selepas didakwa terbabit dalam penggubahan wang haram dan perlu melunaskan RM45,000 bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Ini bukanlah taktik baru tapi orang ramai perlu lebih kesedaran akan hal ini. Adalah lebih baik terus berurusan dengan polis dan jangan gelabah.

Baca juga: “Retak hati melihat”, masjid hasil sumbangan rakyat Malaysia musnah dibedil Israel