Kebelakangan ini, gejala bunuh diri semakin menjadi-jadi. Situasi hidup yang berdepan dengan pandemik Covid19 yang berterusan, tanpa memperlihatkan tanda-tanda reda, menambah beban tekanan hidup yang dihadapi warga. Berdasarkan statistik,tahun 2020 mencatatkan rekod kes bunuh diri sebanyak 266 kes,peningkatan lebih 20 peratus berbanding tahun sebelum.
Apa yang lebih merisaukan, munculnya kes-kes ini ketara diantara 8 Mac sehingga 30 Oktober 2020. Lebih merisaukan, 60 peratus kes melibatkan lelaki. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, lima bulan pertama bagi tahun 2021 telah mencatatkan 468 kes bunuh diri, sekaligus mencatat rekod tertinggi peningkatan berbanding tahun sebelum.
Bagi mengatasi isu ini, daripada lebih membarah, sesuatu perlu dilakukan oleh pihak kerajaan. Namun, apa yang kita lihat hari ini,satu demi satu langkah kerajaan dilihat menemui jalan buntu.
Gejala bunuh diri ini kian meruncing kerana situasi yang tidak lagi kondusif dalam kesejahteraan hidup. Perlaksanaan PKP yang dilihat tidak terancang dan cacamarba tanpa pendekatan tepat dan bersifat holistik. Membiarkan sektor yang menjadi punca utama penyebaran Covid19, pada masa yang sama menyekat pula pergerakan sektor lain yang lebih minima kadar jangkitan tanpa insentif atau bantuan yang patut dan perlu.
Ini membangkitkan kegusaran, kesempitan hidup bagi golongan yang terus disekat dan disukarkan kehidupan mereka kerana kebimbangan penyebaran wabak. Tidak menutup sektor perlu yang menyumbang jangkitan utama, angka harian kes jangkitan Covid19 ini sememangnya sukar diturunkan.
Tanpa penurunan angka kes yang signifikan, tentu saja sekatan pergerakan akan berterusan lebih panjang. Ini yang mendera kehidupan golongan bekerja sendiri,berniaga baik dalam skala sederhana atau lebih parah bagi yang berskala kecil.
Tekanan dan saran sewa premis, beban hutang kenderaan, rumah, bil-bil utiliti sangat memberi impak kepada hilangnya kesejahteraan hidup. Bila ini terjadi, tekanan terhadap kualiti keharmonian rumahtangga menjadi merosot.
Selisih faham dan pertelingkahan menjadi sering dan meretak. Maka, membuahkan kesan-kesan buruk kita hadapi kini seperti perceraian, penderaan, sakit-sakit psikologi seperti kemurungan, dan yang lebih parah sehingga membunuh diri.
Berteraskan maqasid syariah, pemeliharaan nyawa (hifz al nafs) antara maqasid tertinggi yang mesti diambil kira dalam sesuatu tindakan atau perlaksanaan.
Hifz al-Nafs adalah mencegah terjadinya hal-hal buruk dan memastikannya tetap hidup (Nuruddin al-Khadimi)
Makna hifz al-nafs iaitu memelihara ruh individu dan masyarakat keseluruhannya daripada terjerumus ke lembah kebinasaan (Ibn Asyur)
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
(Surah al-Baqarah: 195)
مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”
Riwayat al-Bukhari (6047) dan Muslim (110)
Jelas dari sini, memelihara nyawa adalah satu pertimbangan yang sangat penting terutama dalam fasa negara melalui uijian pandemic Covid19 ini. Menghalang setiap individu yang menjadi anggota membentuk masyarakat daripada tercampak ke dalam bahaya adalanh satu tanggungjawab. Lalu kekuasaan yang ada pada pihak kerajaan seharus mungkin digunakan bagi hifz al nafs ini sebaik dan semampu mungkin.
Bila dilihat punca permasalahan, kunci utama kepada gejala bunuh diri dan permasalahan lainnya ketika ini adalah faktor ekonomi rakyat. Maka langkah-langkah perlu seharusnya segera diambil bagi merawat sembuh permasalahan ini. Terdapat dua perkara utama yang mesti diberikan perhatian oleh kerajaan hari ini.
Pertama, perlu tumpu kepada perkara yang betul dalam menyekat penyebaran wabak.
“Mengikut angka dan data terkini (sepanjang bulan Jun 2021), 91 peratus kluster di Selangor berpunca daripada pekerjaan (tempat kerja), iaitu 80 peratus kluster perkilangan dan 11 peratus kluster tapak bina, bersamaan dengan 125 kluster daripada dua sektor ini,” (Amiruddin Shari, MB Selangor, 30 Jun 2021)
Sebanyak 719 kluster kilang dikesan sejak penula¬ran pandemik Covid-19 di negara ini yang mengakibatkan 102,269 kes jangkitan positif sehingga 22 Jun 2021. (Utusan Malaysia,23 Jun 2021)
Bermakna, sektor perkerjaan ( perkilangan dan pembinaan) adalah sektor perlu yang harus diberi perhatian khusus dan ketat. Baik ia bersifat sekatan pergerakan, saringan aggresif bersasar, mahu pun vaksinasi. Ini bagi memastikan pola jangkitan yang dirumus pada graf data menunjukan penurunan yang sebenar dan realistik.
Ini bagi memastikan sekatan pergerakan yang dilaksanakan disemua kawasan kini, menjadi lebih pendek jangka waktunya. Sekaligus membolehkan rakyat keluar mencari rezeki sebagaimana biasa dengan pematuhan SOP. Di sinilah antara kegagalan utama kerajaan PN hari ini. Membiarkan beberapa sektor yang menjadi penyumbang besar kenaikan kes, beroperasi dengan mudah dan biasa.
Dengan cara ini, corak penurunan kes menjadi lambat dan sekatan pergerakan menjadi lebih panjang. Ini benar-benar mendera rakyat yang memiliki kapasiti stok simpanan kecemasan yang terhad.
Sepatutnya pihak kerajaan mengukur kemampuan rakyat terbanyak, berdasarkan data-data pelbagai agensi, bagi merangka dan menjangka pelan pemulihan yang lebih realistik dan tidak membebankan rakyat yang telah sedia terbeban sejak munculnya pandemik Covid19 ini.
Kedua, dalam tempoh kawalan pergerakan atau popular dengan istilah “lockdown”, golongan yang terkesan mesti diberikan bantuan atau mungkin juga “pampasan” kerana sekatan pergerakan yang boleh menafikan hak mereka untuk bekerja mencari nafkah bagi keperluan hidup.
Mencari nafkah hidup adalah perkara asas atau dharuriyat yang mesti dipelihara. Bila ada sesuatu hukum atau sekatan yang perlu dibuat oleh kerajaan atas sebab-sebab tertentu (maslahah al ammah), yang menangguhkan atau mengekang keupayaan mencari nafkah ini, amat wajar bagi pihak kerajan menilai pampasan atau bantuan yang sesuai dan logik sepanjang perintah kawalan pergerakan berlansung.
Dengan data yang dimiliki oleh agensi kerajaan berkenaan status ekonomi rakyat, setidaknya pihak kerajaan boleh menyasarkan program bantuan atau pampasan ini kepada golongan B40 dahulu sebelum pertimbang memperluas kepada M40 yang terkesan dengan situasi.
Dengan cara ini, kesejahteraan hidup rakyat dapat dipelihara sebaiknya sekaligus dapat mencegah atau mengurangkan gejala-gejala negatif seperti sakit mental,perceraian,jenayah harta benda,bunuh diri dan lain-lain.
Sehingga artikel ini ditulis, kerajaan PN masih gagal menawarkan harapan yang mampu diyakini oleh rakyat. Hinggakan kempen ‘bendera putih’ dicetuskan rakyat bagi memelihara kelangsungan hidup bagi mereka yang miskin dan terhimpit dengan situasi kini.
Adalah satu langkah yang cukup baik menggantung “bendera putih’ daripada ada yang mengambil jalan salah ‘menggantung diri’ kerana putus asa. Semoga rakyat Malaysia terus kuat mengharungi ujian pandemik ini dan terus sabar menghadapi kerenah kerajaan hari ini yang gagal memahami realiti keperluan dan tuntutan sebenar rakyat. Moga ada sinar dihujung terowong nanti.