Hilangnya Permata Aceh, perjuangan yang tidak berakhir

Hilangnya Permata Aceh, perjuangan yang tidak berakhir

ULASAN : Pagi semalam kita dikejutkan dengan berita sedih berhubung kematian mengejut Tan Sri Sanusi Junid saat beliau baru sahaja selesai mengambil wuduk dan menanti tibanya waktu solat subuh untuk solat secara berjemaah.

Allahyarham tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Begitulah indahnya cara Allahyarham dijemput oleh Ilahi, dalam keadaan berwuduk dan sedang menanti masuknya waktu solat subuh. Kita berdoa semoga Allah merahmati dan mengampuni Allahyarham, kerana sehingga akhir hayatnya Allahyarham masih terus berjuang menentang kleptokrasi yang sedang melanda hebat negara tercinta kita ini.

Yang lebih mengharukan, Allahyarham sempat menghadiri majlis pelancaran manifesto Pakatan Harapan semalam dan bersama-sama dengan para pemimpin utama Pakatan Harapan di atas pentas utama sambil memegang poster yang berkaitan dengan manifesto Pakatan Harapan. Dan antara kata-kata Allahyarham yang amat menyentuh hati dan masih melekat di dalam kotak minda saya adalah tulisannya yang ditulis pada 2 Mac yang lalu di dalam blognya yang berbunyi;

“Peneroka Felda dan anak cucu peneroka hendaklah menolak BN yang telah mencabul warisan Tun Abdul Razak. Veteran tentera dan polis jangan lupa kepada pengalaman mereka dalam mempertahankan negara daripada ancaman komunis yang tidak bertuhan. Sebagai umat Islam, kita perlu protes menentang sikap baru kerajaan terhadap Zionis Yahudi Israel yang dibenarkan masuk secara rasmi ke Malaysia sedangkan mereka sedang menyembelih rakyat Palestin.

Kita perlu buang sifat takut kepada China yang bukan komunis, dan kita perlu berani berkawan dengan China yang menjadi rakyat Malaysia dan sesiapa saja yang kuat menentang rasuah, apatah lagi jika yang rasuah itu ialah dalam kalangan bangsa kita sendiri yang telah menipu kita selama ini. ”

Ia seakan-akan satu amanat terakhir daripada seorang tokoh yang sangat kuat membaca, tajam fikirannya dan banyak idea luar biasa. Sumbangannya dalam kerajaan tidak perlu diungkapkan, cukup rasanya jika kita mengetahui bahawa Allahyarham telah berkhidmat sebagai Menteri Kabinet selama lebih kurang 25 tahun dalam berbagai portfolio, seperti Kementerian Tanah dan Pembangunan Regional, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Nasional dan Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Menteri Besar Kedah.

Allahyarham yang berketurunan Aceh, di lahirkan di Kampung Aceh, Yan Kedah, digelar sebagai “Permata Aceh” kerana sumbangan, kejayaan dan perjuangannya dalam pembangunan negara, Islam dan masyarakat Aceh. Maka, tidak hairanlah sekiranya Allahyarham menjadi kebanggaan anak-anak Aceh yang berada di Malaysia, khususnya sepanjang 8 tahun Allahyarham menjawat jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa.

Di akhir hayatnya, Allahyarham sangat kuat berjuang menentang korupsi dan mengkritik pentadbiran negara dan UMNO, iaitu parti politik yang pernah didukungnya pada satu masa dahulu. Ini terbukti dengan tulisan Allahyarham yang amat tegas yang berbunyi,

“Pakatan Harapan menang di Semenanjung dan mereka yang menang di Sarawak boleh menyertakan Warisan dan Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan pusat maka dapatlah kita hapuskan segala gejala yang menyusahkan rakyat seperti GST, dapatlah kita membaiki institusi amanah yang kini sudah ternoda, dan dapatlah kita menuntut balik harta kita yang disita atau dirampas di Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland, termasuk di Bali, di mana sebuah kapal termahal milik Jho Teik Low bersembunyi.”

“Kita perlu menjadi bangsa yang berani berubah kerana sudah terlalu lama perasaan takut kita disalahgunakan oleh mereka yang kita percayai untuk membangsatkan agama, bangsa dan negara kita sendiri.”

Maka, marilah bersama-sama kita menghayati dan meneruskan perjuangan suci yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham bagi mewujudkan Malaysia yang lebih baik untuk anak dan cucu-cicit kita diami.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga Allahyarham di tempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman.

*Penulis adalah Pengarah Komunikasi AMANAH Pahang.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0