Malaysia Dateline

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Himpunan 8 Disember bukan demontrasi tetapi pertahan hak, kata Ismail Sabri

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa Himpunan Kesyukuran ICERD Sabtu ini, bukanlah untuk berdemonstrasi tetapi untuk mempertahankan hak yang perlu bagi mewujudkan sikap saling menghormati.

Katanya, cubaan untuk membawa sentimen dan memecah-belahkan Melayu harus dihentikan oleh pihak-pihak tertentu.

“Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita semua bakal berhimpun di Kuala Lumpur atas satu matlamat iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-raja Melayu.

Beliau yang menyebut himpunan bakal diadakan itu sebagai’ Himpunan Aman 81′  ujarnya, bakal dicatatkan sebagai sejarah umat Islam Melayu kerana berjaya mengenepikan fahaman politik kepartian demi agama dan bangsa.

“Ini bukan demonstrasi tetapi Himpunan Ummah,” tegasnya lagi yang dibuat melalui kenyataan dalam laman Facebooknya.

“Sejarah membuktikan bahawa Islam Melayu telah banyak berkorban dan sanggup berkongsi segala kelebihan yang ada di negara ini dengan bangsa lain tanpa kita mengungkit atau berkira.

“Ini pesanan yang kita harus sampaikan kepada mereka yang tidak menghormati kita sebagai tuan rumah, yang telah banyak berkorban dan bertolak-ansur demi mengekalkan perpaduan dan kemakmuran yang telah kita sama nikmati.”

Selaras dengan itu, beliau mengajak semua umat Islam dan bangsa Melayu yang mengakui dan meyakini Islam perlu diletakkan ditempat tertinggi; dan Bangsa Melayu perlu di pertahankan walau apa cara sekalipun; turun tanpa berkecuali menjadikan Himpunan Ummah perlu diingati oleh pihak yang cuba menyentuh hak dan kepentingan kita Islam Melayu.

“Ayuh! Kita tunjukkan sokongan dengan memakai baju putih pada 8 Disember 2018 bagi yang tidak mampu turun ke Kuala Lumpur,” katanya lagi