Malaysia Dateline

Himpunan 8 Disember, Menteri Dalam Negeri bagi amaran

Menteri di Dalam Negeri Tan Sri Datuk Muhyiddin Mohd Yassin menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan atau membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan kaum dan agama serta menjejaskan ketenteraman awam di negara ini.

Memandangkan kerajaan telah memutuskan untuk tidak menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dilihat bercanggah dengan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin di dalam kenyataannya berkata, undang-undang berkaitan hasutan masih berkuatkuasa dan tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana individu yang sengaja mencetuskan sentimen kaum.

“Berhubung rancangan beberapa pihak untuk menganjurkan Himpunan Membantah ICERD pada 8 Disember 2018, saya berpandangan setelah kabinet memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaiknya sebarang bentuk perhimpunan membantah ICERD tidak perlu diadakan.

“Sebarang tindakan untuk meneruskan perhimpunan ini adalah tidak munasabah,” tegasnya.

Namun, katanya, sekiranya pihak penganjur meneruskan juga hasrat untuk mengadakan perhimpunan tersebut, maka penganjurannya adalah tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012.

Iaitu, pihak penganjur hendaklah mematuhi peruntukan Akta ini dan segala syarat yang ditetapkan oleh pihak polis.

“Jika terdapat cubaan oleh mana-mana pihak untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama menerusi perhimpunan ini, maka tindakan tegas akan diambil terhadap mereka berlandaskan undang-undang negara.

“Sementara kerajaan meraikan hak individu untuk bersuara dan berhimpun seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, hak-hak ini hendaklah diamalkan menurut kehendak undang-undang,” katanya.