Himpunan 8 Disember tidak perlu diteruskan, kata Mufti

Himpunan 8 Disember tidak perlu diteruskan, kata Mufti

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad

Mufti berharap perhimpunan bagi meraikan kejayaan selepas kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan pada 8 Disember ini tidak diteruskan.

Menurut Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, penganjur sewajarnya akur dan membatalkan perhimpunan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini apabila kerajaan bersetuju tidak meratifikasi ICERD.

“Seperti yang kita sedia maklum, beberapa perhimpunan yang pernah diadakan sebelum ini mencetuskan pelbagai kekecohan.

“Jadi saya rasa lebih elok elakkan perhimpunan itu diteruskan supaya tidak berlaku sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, penganjur perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa jika diberi kebenaran meneruskan perhimpunan berkenaan.

“Dalam Islam juga sudah tertulis apa sahaja peraturan perlu dipatuhi, jadi patuhilah peraturan,” katanya dipetik BHarian.com.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Sehubungan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan himpunan wajar dibatalkan bagi menjamin faktor keharmonian masyarakat majmuk di negara ini, selain pihak berkenaan perlu mengambil kira keputusan kerajaan berhubung ICERD.

“Isu ini sudah selesai dan pihak kerajaan sudah pun keluarkan kenyataan ICERD ini tak akan dilaksanakan di Malaysia kerana bercanggah dengan Perlembagaan (Persekutuan). Malah, kerajaan sudah menyatakan mereka tetap mempertahankan Perlembagaan kita.

“Ia (perhimpunan) juga perlu dibatalkan selepas mengambil kira suasana atau situasi sekarang ini dengan kejadian dan isu timbul kebelakangan ini.

“Untuk elakkan keadaan supaya tidak jadi lebih gawat, maka eloklah perhimpunan ini tak diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyempurnaan Kajian dan Penyerahan Model Latihan serta Bimbingan Pelaksanaan Solat untuk Operator Kren Penang Port Sdn Bhd di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, fokus paling penting bagi semua rakyat di negara ini adalah untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum tanpa menyentuh perbezaan agama yang sememangnya menjadi suatu perkara sensitif bagi semua pihak.

“Yang pentingnya kita nak jaga keharmonian pelbagai kaum di Malaysia dan soal agama ini adalah sensitif. Jika kita silap menanganinya, maka ia akan membawa kepada perkembangan tak diingini.

“Kita berharap supaya semua pihak boleh faham, keamanan dan keselamatan rakyat perlu diutamakan,” katanya.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad pula menggesa himpunan kesyukuran itu tidak perlu diteruskan, memandangkan keadaan semasa yang agak tegang.

Beliau berkata penerusan himpunan itu hanya mengundang “hal yang tidak baik”, selain kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan.

Walau tidak merujuk secara khusus, beliau dipercayai merujuk isu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya yang bermula Isnin lalu.

“Dalam Islam sendiri jika kita mahu melakukan sesuatu yang perlu pertimbangkan soal baik dan buruknya.

“Jika perkara yang ingin dilakukan itu lebih banyak keburukan (menimbulkan masalah) berbanding kebaikan, mengapa ingin diteruskan (perhimpunan Icerd),” katanya seperti dipetik NST.

Pada 23 November lalu, kerajaan mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan akhbar berkata, kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berkata walaupun PAS menyambut baik keputusan kerajaan itu, himpunan tolak ICERD yang dijadual 8 Disember ini akan diteruskan seperti dirancang namun format ditukar kepada himpunan meraikan kejayaan rakyat membantah ICERD.