Himpunan #TangkapMO1 di KK diteruskan, polis perlu hormati semangat akta

Himpunan #TangkapMO1 di KK diteruskan, polis perlu hormati semangat akta

Penganjur himpunan aman #TangkapMO1 tetap akan meneruskan aturcara yang dijadualkan pada 27 Ogos 2016 bertempat di RedSquare, Kota Kinabalu, meskipun pihak polis enggan menerima notis yang dihantar petang semalam.

Koordinator himpunan, Mukmin Nantang berkata tindakan pihak polis tidak selari dengan semangat Akta Perhimpunan Aman.

“Justeru itu, kami mengambil tindakan untuk tetap menghantar notis kerana merujuk kepada Akta Perhimpunan Aman (1) yang menyatakan hanya notis 10 hari perlu dihantar dan bukannya sebuah permohonan untuk mengadakan himpunan,” katanya.

Semalam. pada jam 2.00 petang, Nantang telah menghantar notis perhimpunan aman ke Ibu Pejabat Polis Karamunsing.

“Pihak polis sudah pun membaca dan mengetahui perhimpunan aman ini. Walau bagaimanapun, pihak polis tidak mahu menerima notis pemberitahuan perhimpunan aman ini dan meminta kami melengkapkan borang permohonan perhimpunan terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, di dalam notis tersebut, telah dimaklumkan perhimpunan aman #TangkapMO1 akan diadakan pada 27 Ogos 2016 bertempat di RedSquare, Kota Kinabalu.

“Meskipun pihak polis enggan menerima notis ini, perhimpunan aman akan tetap berjalan dengan aman seperti dirancang,” katanya.

Beliau berharap pihak polis dapat memberikan kerjasama dengan membantu memastikan perhimpunan berjalan dengan baik pada 27 Ogos 2016 ini dan menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bersama menyertai himpunan aman ini.

TAGS