Malaysia Dateline

Himpunan di Melaka tak boleh, di KL boleh tak kena denda, kata Syed Saddiq

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya negeri bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Bagaimanapun pada malam ini, BN dilihat telah menganjurkan pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Melalui siaran secara langsung malam ini kelihatan jentera BN telah berkumpul secara beramai-ramai dan dihadiri ahli dan penyokong dari seluruh negara.

Program diadakan di kawasan tertutup, dihadiri ramai orang sekaligus SOP tidak diendahkan

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman menyifatkan bahawa peraturan SOP di negara ini bermacam-macam jenis.

Katanya, mengadakan program himpunan sosial PRN Melaka di Melaka dilarang sama sekali dan akan dikenakan kompaun kerana wabak Covid adalah bahaya.

“Tapi kalau buat perlancaran jentera PRN Melaka di Kuala Lumpur, boleh. Tak kena kompaun, tak kena denda. Dibenarkan sama sekali. Wabak COVID tak bahaya.

“Selamat berhimpun.

“Selamanya Malaysia dua darjat,”kata beliau di Facebook.

Presiden Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) itu juga menzahirkan rasa kesal apabila ahli parti itu dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 selepas mengadakan satu sidang media di Melaka hari ini.

“Hanya lima orang hadir pada sidang media itu yang diadakan di kawasan terbuka, malah mereka juga menjaga penjarakan fizikal.

“Kami buat PC di kawasan “open air” selama 10 minit dengan kehadiran x5 orang sahaja (social distancing), tetap kena kompaun,” katanya.

Tetapi katanya, majlis anjuran Umno dan Perikatan Nasional yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

“PN/Umno buat majlis dengan ratusan orang di dewan tertutup, tak pakai mask, no social distancing, tak kena kompaun.

Tiada penjarakan sosial

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada malam ini

Majlis itu akan diadakan pada jam 8 malam di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Umno mengingatkan semua pihak yang menghadiri majlis tersebut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan serta lengkap dos kedua dan tidak mengalami gejala Covid-19.

Pelancaran jentera ini akan dihadiri oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno termasuk kepimpinan BN.