Himpunan Fastaqim 2.0 untuk tunjuk Pas kuat, kata pemimpin Pas T’ganu


Ketua Penerangan Pas Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah mengakui Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus mulai esok bagi menunjukkan parti itu kuat dan bermaruah.

Menurutnya, pihak yang menghina Pas dengan menganggap parti berkenaan lumpuh sebaliknya terdiam melihat himpunan sama di Kota Bharu pada 2015 mendapat sambutan ramai.

“Himpunan besar ini adalah yang kedua diadakan selepas di Kota Bharu dahulu. Ianya berkenaan maruah, bagi dipertontonkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Pas adalah sebuah parti yang mempunyai kekuatan tersendiri yang memiliki maruah yang sangat tinggi.

“Ada penghina-penghina Pas dahulu mengatakan bahawa Pas sudah lumpuh dengan keluarnya beberapa pemimpin yang berkhianat dengan Pas, namun dengan kehadiran 100,000 orang di Kota Bharu ketika itu, ia sekali gus mendiamkan pembenci-pembenci Pas, tersungkur menelan kata-kata mereka kembali,” katanya.

Mohd Nor Hamzah

Dipetik daripada Harakahdaily hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong itu juga menyelar pihak yang mendakwa Pas menerima RM90 juta daripada Umno.

“Tidak puas dengan itu, ditabur pula fitnah oleh sekumpulan manusia yang tiada tahu adab berkawan, dengan mengatakan Pas telah disuap Umno dengan RM90 juta.

“Walaupun sebegitu sukar untuk Pas menepis segala fitnah ini sehingga terpaksa mencari keadilan di mahkamah di London, namun Pas tetap ke sana demi maruah parti Islam ini,” ujarnya.

Naib Pengerusi PKR, Rafizi Ramli pada April lalu mendedahkan terdapat sejumlah wang daripada syarikat terpalit skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masuk ke akaun seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan tertinggi Pas.

Bahkan, Rafizi juga mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesan aliran tunai berkenaan apabila melakukan siasatan terhadap aliran wang dari sejumlah akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Nor berkata, ahli dan penyokong Pas menghulurkan sumbangan masing-masing bagi menampung kos guaman bagi kes fitnah tersebut.

“Ahli-ahli dan penyokong Pas tidak membiarkan pimpinan Pas sahaja bertungkus lumus membuang palitan fitnah ini, malah mereka menyeluk poket-poket mereka bagi bersama membayar kos guaman bagi kes fitnah ini.

“Alangkah peliknya ahli-ahli Pas ini, semakin difitnah, semakin teguh pendirian mereka bersama Pas.

“Oleh itu, saya merasa hairan apabila ada pihak yang mengeluarkan kenyataan untuk mahu memancing ahli Pas dan mengajak semua ahli Pas melupakan Presiden Pas,” tambahnya lagi.

0.0
OVERALL SCORE
: 0.0
Have no any user vote