Malaysia Dateline

Himpunan harus dibenarkan, bimbang ancaman keganasan ke atas Dong Zong, kata Suhakam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memandang serius tindakan kerajaan menafikan hak Dong Jiao Zong (Dong Zong) untuk berhimpun dan bersuara selepas persidangan mereka dibatalkan melalui injunksi mahkamah pada Sabtu lepas.

Suhakam dalam kenyataan melahirkan kebimbangan susulan ancaman keganasan yang didakwa diterima Dong Zong, sambil menegaskan, hak kebebasan berhimpun dan bersuara dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Suhakam percaya bahawa persidangan Dong Zong, termasuk tunjuk perasaan oleh penentang-penentang Dong Zong, seharusnya dibenarkan untuk diteruskan.

“Pihak berkuasa perlu memastikan kedua-dua kumpulan dapat menjalankan sepenuhnya aktiviti mereka dengan selamat, bagi memenuhi hak kebebasan berhimpun dan bersuara yang amat penting bagi merealisasikan sebuah demokrasi yang bebas dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan pihak berkuasa yang tunduk kepada mereka yang mencetuskan keganasan dikhuatiri boleh menyebabkan pencabulan hak asasi rakyat Malaysia.

Justeru, pertubuhan itu menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan sepenuhnya terhadap sebarang ancaman keganasan yang boleh mencetuskan kebencian, rusuhan dan mengancam kedaulatan undang-undang di negara ini.