Himpunan ICERD: Muhyiddin ucap tahniah kepada pasukan keselamatan, agensi kerajaan

Himpunan ICERD: Muhyiddin ucap tahniah kepada pasukan keselamatan, agensi kerajaan

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan dan agensi kerajaan yang mengawal keselamatan pada perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di sekitar Jalan Raja di sini semalam.

Beliau dalam pada itu, turut berpuas hati dengan pendekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memudah cara perhimpunan itu mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Perhimpunan kesyukuran di atas keputusan kerajaan membatalkan ratifikasi ICERD berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PDRM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua agensi kerajaan yang terlibat dalam mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perhimpunan ini berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur dan para peserta perhimpunan kerana telah berhimpun secara aman serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang perhimpunan diadakan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata selaras dengan semangat Malaysia Baharu, beliau ingin mengulangi pendirian kerajaan untuk sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman selagi hak-hak ini diamalkan menurut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata dianggarkan 55,000 peserta hadir dan himpunan itu berjalan lancar dan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir ialah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebelum ini, penganjur dilaporkan berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda ‘kesyukuran’ di atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan konvensyen berkenaan dan seterusnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 Nov lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD.

Kerajaan juga akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dicapai sebelum merdeka dalam kalangan wakil dari Umno, MCA dan MIC melalui kemenangan Perikatan pada pilihan raya umum 1955.

— BERNAMA