Himpunan Kebangkitan Ummah bukan himpunan rasis, kata Pas

Himpunan Kebangkitan Ummah bukan himpunan rasis, kata Pas

Peserta Himpunan Kebangkitan Ummah membanjiri padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur

Himpunan Kebangkitan Ummah anjuran gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah yang diadakan pada hari ini bukan perhimpunan rasis, demikian tegas Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, himpunan hari ini sebagai menyatakan hasrat dan mungkin harapan rakyat biasa berhubung beberapa isu yang sedang diperkatakan dalam negara hari ini.

“Ini bukan perhimpunan rasis, ini adalah himpunan kepentingan rakyat yang merangkumi banyak perkara antaranya isu bahasa, tanah Melayu, Agama Islam dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam negara mutakhir ini. Jadi ia bukan himpunan rasis sama sekali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Bahkan katanya, himpunan ini dianjurkan oleh Ngo bukan mana-mana parti politik atas dasar kepentingan umat Islam dan orang Melayu.

“Jadi tidak timbul soal politik, tidak kira batas polistik. Pas, PKR, BERSATU pun ada tidak ada halangan mana-mana parti politik untuk sertai himpunan ini,”katanya.

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, di dalam parlimen pihaknya menegaskan janji 100 hari itu janji tersilap yang diletakkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, sekarang hampir 100 hari banyak perkara yang dijanjikan tidak dapat dilaksanakan akhirnya kerajaan memberi pelbagai alasan dengan masalah-masalah yang ada.

“Tetapi mereka kena ingat ini adalah janji mereka kepada rakyat janji ini akan tinggal janji sahaja, mereka akan mencari apa sahaja alasan untuk menjustifikasikan mengapa mereka tidak dapat tunaikan,” katanya.

Himpunan Kebangkitan Ummah bertempat di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk mempertahankan Melayu dan Islam daripada unsur yang didakwa mengancam kepentingan dan haknya bawah Perlembagaan Persekutuan.

Antara pemimpin yang sudah hadir adalah Setiausaha Agung PAS Datuk takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Aziz, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii.

Himpunan yang bertemakan ‘Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam’ turut dihadiri bekas menteri dan anggota BERSATU Tan Sri Rais Yatim yang menegaskan kembali bantahan terhadap kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Kita tak boleh ada lebih daripada satu sistem peperiksaan. Lihat Singapura, Indonesia, India…semuanya hanya ada satu sistem.

Di laporkan lebih 1,000 peserta yang hadir di dalam perhimpunan hari ini.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0