Malaysia Dateline

Himpunan #LAWAN serlah kegagalan kerajaan

Hak untuk berhimpun adalah termasuk dalam kebebasan asasi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebaris dengan hak untuk mengeluarkan pendapat dan hak untuk berpersatuan.

Hak untuk berhimpun ini juga terkandung dalam agama Islam yang mungkin tidak disedari oleh sebahagian penganut agama. Perhimpunan haji adalah kemuncak hak untuk berhimpun. Setiap hari umat Islam berhimpun lima kali sehari di masjid untuk menunaikan solat fardhu. Solat hari raya dan ibadah korban juga dibuat dengan mengadakan perhimpunan.

Prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 telah melarang hak untuk berhimpun. SOP ini telah dikuatkuasakan semenjak awal serangan Covid-19 dan tidak ada sebarang penambahbaikan walaupun Malaysia sudah hampir dua tahun berada dalam situasi Covid-19. Hak asasi rakyat tidak boleh ditunda selama-lamanya.

Pemerhatian jurispruden di peringkat antarabangsa menunjukkan banyak kerajaan telah menggunakan alasan Covid-19 untuk menekan hak asasi rakyat termasuk hak berhimpun, hak untuk mengamalkan agama, hak untuk bergerak dan hak untuk bersuara.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) telah mengeluarkan 10 panduan kepada semua negara untuk memastikan hak rakyat ini tidak ditekan:

i) Memastikan bahawa langkah undang-undang baru berkaitan Covid-19 menghormati hak asasi manusia

ii) Memastikan keadaan kecemasan kesihatan awam tidak dijadikan alasan untuk pelanggaran hak

iii) Demokrasi tidak boleh ditangguhkan selama-lamanya

iv) Memastikan penyertaan inklusif

v) Menjamin kebebasan berpersatuan dan berkumpul dalam talian

vi) Melindungi hak tempat kerja terhadap kebebasan berpersatuan dan berhimpun

vii) Kebebasan bersuara mesti dijamin

viii) Penyertaan masyarakat sivil dalam institusi pelbagai hala mesti dijamin

ix) Perpaduan antarabangsa diperlukan lebih dari sebelumnya

x) Implikasi Covid-19 di masa depan dan menyahut seruan reformasi yang popular (respons negara terhadap krisis mengambil kira tuntutan rakyat sepenuhnya: struktur tadbir urus yang lebih demokratik, penghormatan terhadap hak asasi manusia dan persamaan, dan peningkatan sokongan dan perhatian untuk sumber tenaga yang lebih lestari ).

Kerajaan sekarang gagal untuk memberikan SOP perhimpunan awam setelah dua tahun musibah Covid-19. Perhimpunan anak muda berbaju hitam semalam membuka mata banyak pihak dari pelbagai aspek ketidakpatuhan kerajaan terhadap garis panduan yang sepatutnya dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.

Ada sebab yang wajar tunjuk rasa itu dibuat oleh anak muda memandangkan anak muda yang paling terkesan dengan kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan serta proses pendidikan yang terhalang.

Kerajaan sepatutnya mengambil positif unjuk rasa anak muda berbaju hitam dengan mengemaskinikan SOP perhimpunan awam seperti tempat perhimpunan mestilah dibuat di tempat terbuka, mewujudkan mekanisme perhimpunan online atau offline dan memastikan penjarakan sosial yang diperlukan.

Ketiadaan SOP yang jelas akan menyebabkan kesukaran untuk penguatkuasaan undang-undang oleh pihak PDRM dan pentafsiran undang-undang oleh mahkamah.

Kerajaan boleh mengambil panduan dan menambahbaik model yang digunakan di United Kingdom yang membenarkan perhimpunan dibuat setelah dibuat penaksiran risiko dan langkah-langkah kawalan pencegahan Covid-19 dilaksanakan.

*DR ZULKARNAIN LUKMAN merupakan Pengerusi Biro Undang-undang (KANUN) Parti AMANAH Negara (AMANAH).