Malaysia Dateline

Himpunan LGBT calar imej kerajaan, cemar nama negara, kesucian agama

Persatatuan Demi Rakyat Pulau Pinang menyifatkan  himpunan LGBT yang telah diadakan pada Sabtu, di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Wanita Sedunia bukan saja mencemarkan nama baik negara, tetapi juga mencalarkan imej kerajaan dan Islam sebagai agama Persekutuan.

Setiausahanya, Mustaqim Md Daud berkata persatuannya ,menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa kerajaan tegas menolak LGBT.

“Tidak harus ada toleransi dalam isu LGBT dalam negara ini.

“Kerajaan telah berkali-kali menyatakan bahawa LGBT ditolak dalam negara ini walaupun adanya desakan demi desakan dari beberapa organisasi yang bertopengkan atas nama hak asasi manusia.

“Kini perkara ini telah mencemarkan nama baik negara serta kesucian Islam sebagai agama Persekutuan, ” jelasnya.

Sehubungan itu ujarnya, tindakan segera harus diambil terhadap penganjur yang telah berani menganjurkan himpunan dan perarakan tersebut.

“Teriakan ‘Hidup LGBT’ dalam himpunan tersebut kelmarin amat memalukan.

“Sepatutnya mereka menghormati keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan dengan menolak LGBT.

“Oleh kerana itu tidak harus ada usaha dari mana-mana pihak maupun pertubuhan untuk mengadakan perarakan dan himpunan yang menuntut supaya LGBT dibenarkan diiktiraf dalam negara ini, ” tegas Mustaqim lagi.

Tambahnya, tindakan tegas wajib diambil sebagai satu peringatan agar kebebasan yang diberikan oleh kerajaan tidak disalah gunakan sehingga mencetuskan kebimbangan dan kecelaruan dikalangan masyarakat.