Himpunan mansuh GST: Hari rakyat, himpunan rakyat, kata Mohamad Sabu

Himpunan mansuh GST: Hari rakyat, himpunan rakyat, kata Mohamad Sabu

Seluruh lapisan rakyat diseru menyertai 'Himpunan Mansuh GST, Undur Najib' petang ini kerana ia adalah 'hari rakyat' dan 'perhimpunan rakyat' bagi menyatakan bantahan terhadap cukai yang membebankan itu, kata komander perhimpunan, Mohamad Sabu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

banner GST 1Seluruh lapisan rakyat diseru menyertai ‘Himpunan Mansuh GST, Undur Najib’ petang ini kerana ia adalah ‘hari rakyat’ dan ‘perhimpunan rakyat’ bagi menyatakan bantahan terhadap cukai yang membebankan itu, kata komander perhimpunan, Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga presiden Amanah berkata, rakyat perlu bersama menyatakan bantahan terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sudah setahun dilaksanakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak kerana mereka adalah pihak yang paling terkesan dengan perlaksanaan GST.

“Ahli Parlimen (Pakatan Harapan dan pembangkang) telah menyatakan bantahan mereka di parlimen, pemimpin politik juga sudah menyuarakan bantahan mereka, kini sampai masanya untuk rakyat beramai-ramai menyatakan bantahan kerana hari ini adalah hari rakyat dan hari perhimpunan rakyat,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Sementara itu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyertai perhimpunan aman petang ini.

Dalam sidang media 31 Mac lalu, Mohamad berkata pihak penganjur telah memaklumkan berkaitan perhimpunan tersebut kepada Mahathir dan tidak menolak kemungkinan beliau akan hadir.

Himpunan sempena setahun GST dilaksanakan itu akan bermula jam 2 petang ini dan dijangka berakhir secara aman pada jam 6 petang.

Para peserta himpunan akan berhimpun di tiga tempat iaitu Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Sultan dan Pasar Seni kemudian bergerak ke Sogo sebelum berhimpun di Dataran Merdeka.

Warna tema perhimpunan adalah hitam dan peserta perhimpunan digalakkan memakai pakaian serba hitam.

Sementara itu, ketua pemuda Amanah Nasional Sany Hamzan menyeru seluruh rakyat Malaysia hadir secara aman dan tidak mencetuskan sebarang huru-hara.

“Kalau ada sebarang provokasi itu bukan daripada peserta himpunan tetapi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan ingin mencetuskan kekacauan,” tegasnya.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR Fariz Musa pula berkata, pihaknya memberikan komitmen penuh terhadap himpunan tersebut dan akan berhimpun di Pasar Seni sebelum ke Dataran Merdeka.

Seramai 600 petugas keselamatan daripada Unit Tindak DAP (Tindak), Skuad AMK PKR dan Amal Relief Amanah (Arif) akan bertugas mengawal kelancaran himpunan.

Menurut Mohamad Sabu juga, pihak polis juga sudah dimaklumkan mengenai himpunan ini dan mendapat kerjasama yang baik daripada pihak keselamatan.

“Kita dah maklumkan kepada pihak polis dan seperti biasa layanan polis sangat baik dan memberikan layanan yang mesra,” katanya.

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan GST diumumkan perdana menteri  dalam seminar Antarabangsa GST di Kuala Lumpur pada September 2014 dan mula dilaksanakan pada 1 April tahun lalu.

Pelaksanaan GST, kata Najib adalah penting bertujuan memastikan ekonomi negara lebih mampan dan telus.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah kementerian yang bertanggungjawab dalam mengendalikan sistem percukaian ini.

Walaupun mendakwa GST mampu meningkatkan sumber pendapatan negara dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, namun hutang negara terus meningkat kepada RM800 bilion tahun ini.

Dakwaan kerajaan bahawa GST mampu menurunkan harga barangan keperluan harian juga meleset apabila rakyat terus dibebani kenaikan harga barangan dan perkhidmatan setelah cukai berbentuk regresif itu dilaksanakan.

Malaysiadateline akan menyiarkan laporan terkini perhimpunan ini mulai jam 11 pagi.

 12.12 Tengahari – Sekumpulan pelancong dilihat berjalan di luar siar kaki di Jalan Raja Lautkawasan sekitar bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diletakkan halangan berpagar.

 

TAGS