Himpunan Mansuh GST sangat berjaya, kata peserta

Himpunan Mansuh GST sangat berjaya, kata peserta

Peserta yang hadir ke perhimpunan Turun Najib, Mansuhkan GST Sabtu lepas menyifatkan perhimpunan itu sangat berjaya kerana kesanggupan mereka meredah cabaran cuaca yang panas membahang untuk membuat bantahan.

 

Peserta yang hadir ke perhimpunan Turun Najib, Mansuhkan GST Sabtu lepas menyifatkan perhimpunan itu sangat berjaya kerana kesanggupan mereka meredah cabaran cuaca yang panas membahang untuk membuat bantahan.

“Sebagai yang hadir sendiri ke perhimpunan, saya tetap katakan himpunan kelmarin sangat berjaya.

“Yang tetap turun kelmarin meninggalkan kediaman yang selesa seterusnya sanggup mereda cabaran cuaca panas yang membahang, bahkan jauh lebih perit berbanding cabaran gas pemedih mata dan air berkimia polis; adalah pejuang-pejuang rakyat yang tegar,” kata Aiman Athirah Aljundi, AJK Parti Amanah Negara (Amanah) dalam satu kenyataannya.

Bagi beliau, berjuang meninggalkan kediaman yang selesa adalah jauh lebih baik dan mulia daripada bergosip dari ruang yang selesa.

PAS hari ini menyifatkan, kehadiran kurang memberansangkan di himpunan anti-GST semalam adalah bukti kekuatan PAS, kata timbalan presiden parti Islam itu Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Dalam konteks dari jumlah kehadiran mungkin gagal, sebab PAS tak menyertai. Kalau PAS sertai (himpunan itu) jumlahnya lebih besar,” katanya di Putrajaya hari ini.

Menurut Aiman Athirah, yang tidak turun tanpa sebarang alasan munasabah, anggap sahaja mereka sokong “Regim Rasuah” dan dasar-dasar Regim Rasuah.

“Yang bersedih di rumah kerana tidak dapat hadir akibat ongkos yang tiada, bersabarlah. Kami wakili anda semua,” katanya.

Beliau ‘salute’ kepada rakan-rakan pejuang tegar perhimpunan semalam. “Walaupun masih ramai yang cuba mencari tempat yang redup (sehingga suasana itu diambil kesempatan dalam manipulasi berita bergambar), tetapi hakikatnya semua yang hadir tetap merasa kehangatan bahang yang sama,”katanya merujuk kepada sekeping gambar dari udara yang menunjukkan orang tidak ramai kerana berada di bawah pokok.

“Iyya, panas dan bahang kita di Dataran Merdeka nampak di mata dan terbakar di kulit.  Sedangkan panas derita dan bahang amarah rakyat susah di pelosok negara akan terus membakar di dalam dada.

“Ingat, kelmarin bukan permulaan dalam kita merencana kebangkitan rakyat mendesak Najib undur,” kata Aiman yang pernah beberapa kali ditahan kerana menyertai tunjuk perasaan.

TAGS