Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia jelajah negara bermula 23 Mac

Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia jelajah negara bermula 23 Mac

 

 

 

 

 

Mohamad SabuPakatan Harapan akan menganjurkan himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia yang akan menjelajah ke seluruh negara bertujuan mengumpul rakyat kepada tiga tuntutan utama Pakatan Harapan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Mohamad Sabu, Muafakat Selamatkan Malaysia yang pertama akan diadakan pada 23 Mac ini di Pandan Indah jam 8.00 malam dan kemudian ia akan diteruskan ke Johor di Gelang Patah pada 16 April sebelum ke Kedah pada 7 Mei.

“Muafakat Selamatkan Malaysia adalah perhimpunan yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan melibatkan pidato tokoh dan aktivis, deklamasi puisi, persembahan dan aktiviti lain ke arah membina gelombang mendesak tiga tuntutan tadi dipenuhi,” kata beliau pada sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Selain itu kata Mohamad, kaunter-kaunter untuk menandatangani petisyen Deklarasi Rakyat, petisyen membuka siasatan terhadap Najib dan petisyen pembebasan Anwar akan dibuka.

Pakatan Harapan mengadakan himpunan muafakat ini untuk menuntut reformasi menyeluruh ke atas sistem dan institusi negara untuk memastikan kebebasan, keadilan dan keluhuran undang-undang dikembalikan selaras dengan prinsip pembahagian kuasa di antara tiga cabang kerajaan.

Selain menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menumpukan kekuatan PH memandangkan beliau menghadapi pendakwaan politik.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak turut digesa meletakkan jawatan serta merta dan badan-badan yang bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas dan mendakwa beliau jika ada asas yang kukuh di sisi undang-undang.

Jemput Mahathir, Muhyiddin

Sekretariat himpunan yang diselaraskan oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli akan menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dan Datuk Seri Shafie Afdal untuk turut serta dalam himpunan ini.

“Semua pimpinan Pakatan Harapan akan menyertai himpunan ini dan turut mengajak tokoh-tokoh NGO dan pimpinan lain yang menandatangani Deklarasi Rakyat,” katanya.

Menurut beliau juga, himpunan ini akan memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia menyertainya kerana acara pada 27 Mac yang dikendalikan Datuk Zaid Ibrahim adalah tertutup dan terhad kepada seribu jemputan sahaja.

Himpunan Mansuh GST

Selain Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia, PH turut mengajak rakyat menyertai Demonstrasi Mansuh GST yang bertemakan Undur Najib, Mansuh GST pada 2 April bermula di Dataran Merdeka.

Himpunan ini bersempena genap setahun GST dilaksanakan yang membebankan rakyat.

“Jawatankuasa penganjur yang dipengerusikan saya sendiri dan beberapa mesyuarat telah berlangsung dengan NGO dan aktivis.

“Pelbagai acara untuk menghebahkan demonstrasi ini telah disusun oleh sayap-sayap Pemuda Pakatan Harapan dan NGO selain dari ceramah bersiri ke seluruh negara membina momentum menjelang 2 April ini,” kata Mohd Sabu.

TAGS