Himpunan penyatuan Umno-Pas: Khalid yakin lebih ramai ahli Pas sertai AMANAH

Himpunan penyatuan Umno-Pas: Khalid yakin lebih ramai ahli Pas sertai AMANAH

Sokongan terhadap Pas diyakini akan semakin menjunam ekoran penyatuan parti itu dengan Umno yang dikenali sebagai perkauman, tegas Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Menurutnya, AMANAH pada masa ini pun sudah mendapat permohonan untuk menjadi ahli hampir 1,000 setiap bulan di Kelantan yang merupakan kubu kuat Pas.

“Saya cukup yakin dengan adanya program himpunan (Umno-Pas) dengan segala retorik ucapan dan pembohongan yang dilakukan, maka ianya menjadi hakikat sudah terang lagi bersuluh, Pas menjadi semakin eksklusif.

“Akhirnya, semakin ramai ahli Pas akan keluar dan memilih bersama Pakatan Harapan khususnya melalui AMANAH,” ujarnya.

Khalid berkata demikian dalam majlis dialog bersama media sempena Permukiman Komunikasi AMANAH Nasional (REKOM’19) di Pulse Grande Hotel di Putrajaya hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu juga menegaskan blok pembangkang pada masa ini tiada lain hanya menanam bibit-bibit kebencian dan perbalahan kaum dan agama.

“Dia (pembangkang) tidak boleh bercakap tentang anti korupsi serta hal mengenai ketelusan dan urus tadbir baik.

“Mereka tidak pernah lebih-lebih lagi di hujung rejim BN membawa isu-isu yang sewajarnya bahkan tidak bertanggungjawab menghakis perpaduan nasional,” hujahnya.

Berbeza dengan PH ketika masih pembangkang, jelasnya, mereka bertanggungjawab menegur kerajaan demi perpaduan seluruh rakyat negara ini.

Khalid turut menjelaskan AMANAH komited ke arah pembinaan masyarakat berbilang kaum yang saling menghormati dan saling membantu.

“Inilah mesej Islam yang tidak mahu perbalahan dan peperangan. Tolak ekstremisme agama dan kaum. AMANAH tidak akan bersama Umno dan Pas,” tegasnya lagi.