Malaysia Dateline

Himpunan protes kerajaan PN bawa ‘jenazah’ di Dataran Merdeka

Satu himpunan protes terhadap kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 telah berlangsung di Dataran Merdeka hari ini.

Dilaporkan lebih 20 individu membawa bendera hitam dan lima patung menyerupai jenazah dikapan berkumpul di Padang Dataran Merdeka.

Himpunan bantahan ‘flash mob’ anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) membawa patung mayat sebagai menunjukkan peningkatan jumlah kematian akibat Covid-19, serta kes bunuh diri.

Sementara itu, 14 bendera hitam lambang “kemarahan rakyat” di semua negeri dan Wilayah Persekutuan yang ditunjukkan pada tanda pagar #lawan dan #KerajaanGagal di media sosial.

Sepanduk yang dipegang mereka berilhamkan puisi nukilan Kassim Ahmad, Dialog yang berakhir dengan ayat: “Kian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam derhaka!”

SSR menegaskan bahawa kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional dalam membendung pandemik Covid-19 telah gagal malah nasib rakyat yang mengangkat bendera putih dihina bahkan angka Covid-19 semakin meruncing dan meningkat.

“Sikap perdana menteri dan menteri-menteri kerajaan yang terus menerus menyindir kempen solidariti bendera putih rakyat adalah sangat tidak peka dan prihatin keluh kesah rakyat yang sedang terhimpit dan tertekan akibat tiada pendapatan atau mati akibat terkena jangkitan Covid-19.

“Dan perdana menteri masih boleh buat lawak bodoh untuk menaikkan bendera biru,” katanya.

SSR turut melancarkan kempen puisi bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah telah mengesan kumpulan terbabit di Dataran Merdeka.

Susulan itu, pada 3 petang, Pasukan Dang Wangi yang diketuai Superintendan Naazron Abdul Yusoff bersama Pasukan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  ke tempat kejadian dan mengarahkan kumpulan terbabit supaya bersurai dan beredar dari Padang Dataran Merdeka.

“Pada 3.10 petang, kumpulan terbabit bersurai dan beredar sepenuhnya dari Padang Dataran Merdeka. Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal yang dilakukan dapat mengenal pasti tiga individu yang menjadi penganjur himpunan itu.

“Kesemua mereka ini akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dikompaun atas kesalahan perlanggaran Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Larangan Berhimpun,” katanya.