Himpunan RUU355 bukan kemenangan Islam, tetapi demokrasi, kata MP Amanah

Himpunan RUU355 bukan kemenangan Islam, tetapi demokrasi, kata MP Amanah

 

Kejayaan kepada perhimpunan menyokong pindaan Rang Undang-undang 355 Sabtu lepas adalah demokrasi dan bukti bahawa perhimpunan sebegitu menjadi aman jika tidak dikacau, kata ahli parlimen Amanah.

Ahli parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dalam satu tulisannya berkata, beliau tidak fikir perhimpunan itu satu kehebatan dan kemenangan kepada Islam.

“Bagi saya, jika ada sebarang kejayaan kepada perhimpunan tersebut, ianya adalah kemenangan demokrasi. Jelas, jika mana mana perhimpunan, sebesar mana pun, ianya boleh menjadi aman jika polis tidak kacau.

“Walaupun ada suara suara tertentu yang cuba mengaitkan perhimpunan tersebut dengan kemenangan atau kehebatan Islam, saya tidak berfikir begitu,” kata Hanipa kini mula memasuki mahkamah semula untuk bertugas selepas lebih 10 bulan berehat.

Bagaiamanapun, Hanipa mengucapkan tahniah kepada Pas kerana berjaya mengumpulkan ramai orang hadir berhimpun di padang Merbok pada 18 Februari yang lepas bagi menyokong RUU 355.

Namun Hanipa kesal dengan sikap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang suka sangat mengibaratkan orang lain dengan haiwan termasuk ketika berucap dalam perhimpunan itu.

Hadi ketika berucap menuduh mereka yang menentang RUU 355 adalah ibarat nyamuk dan agas.

“Bagi saya, elok juga Presiden Pas berhenti mengibaratkan orang lain dengan haiwan. Saya lihat agak kerap juga beliau mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan pihak pihak tertentu dengan istilah haiwan.

“Saya penuh sedar akan ada nanti penyokong penyokong tegar Presiden Pas yang akan kata apa salahnya mengibaratkan seseorang dengan haiwan kerana Al Quran juga lakukan perkara yang sama. Ya, benar. Di ruang yang terhad ini, saya tidak mahu berdebat soal tersebut,” katanya.

Himpunan RUU355 mempamirkan sekali lagi kerjasama erat antara dua parti, Umno dan Pas apabila penceramah kedua-dua pihak memenuhi majlis itu.

Turut tampil ke pentas adalah Datuk Dr Hassan Ali yang sebelum ini dipecat dari Pas dan mendedahkan usaha penyatuan Umno dan Pas tidak akan berjaya selagi adanya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia juga gagal kerana ditentang oleh pemimpin Pas yang dilebelkan oleh beliau sebagai Anwarinas, parasit dan anai-anai yang kemudiannya disingkirkan dalam Muktamar Pas 2015 lepas.

 

TAGS