Himpunan ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ tidak akan dihalang PBT, polis

Pemuda PH menunjukkan baju T yang dijual  untuk  himpunan yang akan diadakan pada Oktober ini dengan harga RM15 boleh didapati di ibu pejabat parti masing-masing.

 

Pemuda Pakatan Harapan (PH) menjangkakan seramai 100,000 rakyat akan hadir dalam Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi pada Oktober ini tidak akan dihalang oleh mana-mana pihak.

Pengarah  Jawatankuasa Teknikal Himpunan Selamatkan Malaysia Hapuskan Kleptokrasi  Pemuda PH Faiz Fadzil berkata, PH telah menghantar permohonan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan memaklumkan secara literal kepada pihak polis untuk perhimpunan yang akan diadakan pada 14 Oktober depan.

Namun ujarnya, Pakatan Harapan masih lagi belum menerima sebarang jawaban daripada pihak berkenaan.

“Kalau mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 , himpunan aman tidak perlukan sebarang permit. Kita sudah maklumkan kepada pihak polis dan majlis perbandaran yang mana ada syarat ditetapkan dan ia tidak menjadi masalah kepada pihak kami.

“Dari segi perundangan pihak kami perlu dapatkan kebenaran PBT sahaja dan setakat ini tiada halangan selain daripada beberapa syarat yang kami perlu usahakan dan tiada masalah untuk memenuhi syarat tersebut

“Jika ada pun halangan yang mungkin akan berlaku tapi kita yakin boleh atasinya kerana ini bukan pertama kali kita adakan himpunan besar sebegini,” ujarnya ketika menjawab soalan pihak media ketika mengadakan sidang media di ibupejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Petaling Jaya petang ini.

Faiz yang juga Timbalan Pemuda AMANAH  berkata, gerak kerja jawatankuasa teknikal himpunan PH dalam masa berbaki tiga minggu itu untuk mengumumkan mengenai penjualan baju T-Shirt, tapak niaga food truck, gerai jualan yang masih dibuka untuk penyertaan usahawan dalam memeriahkan himpunan aman rakyat pada hari berkenaan.

“Himpunan rakyat ini diadakan bertujuan untuk mengangurkan program bersifat karnival keluarga bagi menunjukkan kesepakatan rakyat Malaysia berbilang kaum dalam menyatakan penentangan terhadap apa yang berlaku dalam negara ini dan misi kita di masa hadapan adalah untuk menyelematkan negara.

“Selaras dengan program ini turut diadakan termasuk ceramah, persembahan kebudayaan dan kesenian dan permainan untuk kanak-kanak.

“Ia satu perhimpunan aman, bersemangat patriotik dan selamat untuk orang ramai yang datang bersama keluarga,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang himpunan diadakan itu beliau mengharapkan agar rakyat lebih memahami maksud perkataan ‘kleptokrasi’ yang masih baharu bagi rakyat negara ini.

“Perkataan ‘kleptokrasi’ ini masih baharu bagi rakyat negara ini tetapi ia adalah satu perkataan yang digunakan secara luas diperingkat antarabangsa membabitkan lima negara yang diperintah secara kuku besi.

“Kita mahu memahamkan rakyat apa yang dikatakan dengan ‘kleptokrasi’ ini ,” ujarnya.

Timbalan Pengarah Jawatankuasa Himpunan Howard Lee  memberitahu, bagi kempen media sosial himpunan ini mempunyai empat hastag rasmi.

Hastag rasmi berkenaan ialah: #1014; #sayangimalaysia;#hapuskleptokrasi dan;#malaysiakitapunya.

“Mesej yang ada pada empat hastag ini sangat mudah ia memberi maksud tanggal 14 Oktober kami berhimpun kerana kami sayangi Malaysia dan kami nak hapuskan kleptokrasi kerana Malaysia ini kita punya,” ujarnya menerangkan maksud sebenar hastag tersebut.

Bagi orang ramai yang mahukan t-shirt  ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’  boleh memperolehinya di ibu pejabat empat parti di Kuala Lumpur dengan harga RM15 sehelai.

“Bagi jualan T-Shirt di negeri Pakatan Harapan akan mengeluarkan senarai tempat jualan dalam waktu terdekat,” ujar Setiausaha Biro Antarabangsa DAPsy ini lagi.

Himpunan yang akan diadakan di Padang Timur Petaling Jaya pada 14 Oktober  itu adalah acara kemuncak kepada siri ceramah Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan seluruh negeri dan terkini diadakan pada Sabtu lalu di Parlimen Setiawangsa.

CATEGORIES
TAGS