Malaysia Dateline

Himpunan Solidariti Kedamaian dapat pujian netizen

Semalam telah berlangsungnya Perhimpunan Solidariti Kedamaian anjuran Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional bersama NGO dilihat menerima sambutan menggalakkan dari rakyat Malaysia.

Tidak kurang juga, laman sosial media Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dihujani komen yang menyokong usaha kerajaan sebagai inisiatif yang baik serta tidak terlepas dari kecaman terhadap posting yang dimuat naik.

Pengguna yang dikenali sebagai Abe berkata, orang ramai tidak seharusnya mencampur adukkan perhimpunan semalam dengan politik biarpun berbeza sokongan politik.

“Saya sokong usaha ini walaupun saya tetap penyokong Barisan Nasional (BN),” katanya.

Pengguna, Faris juga berkata perhimpunan semalam sebagai demonstrasi kedamaian yang menuntut keamanan di seluruh dunia bukan hanya di Malaysia.

Beliau mengkritik pemikiran netizen yang sentiasa mempolitikkan semua isu yang berlaku dan meminta netizen untuk menerima dengan hati dan minda yang terbuka.

Manakala pengguna yang hanya dikenali sebagai Zairul menganggap komen negatif yang dilemparkan netizen sebagai memalukan dan bersifat negatif.

Beliau membandingkan dengan ribuan non-muslim di New Zealand yang menunjukkan solidariti mereka ketika solat jumaat baru-baru ini.

“Nak tunjuk solidariti pun ramai umat Islam yang negatif. Di New Zealand, beribu non muslim tunjuk solidariti untuk Muslim, memalukan sungguh,” katanya.

Sementara itu netizen Shahril yang tidak dapat menyertai himpunan semalam, mengucapkan tahniah pada Menteri Mujahid atas program yang cukup positif.

Pengguna dikenali sebagai Kamaruddin berkata apa yang penting ialah mereka berhimpun untuk menyokong atas nama keamanan bukan atas dasar politik.

“Hentikan kebencian dan sebarkan kasih sayang,” katanya.

Menurut Salehuddin, rakyat Malaysia tidak sepatutnya hanya bersatu dalam satu perjuangan politik dan sukan tetapi perlu bersatu atas faktor kemanusiaan.

Mohd Hanif pula mengucapkan tahniah kepada pemimpin itu dan menyifatkan perhimpunan solidariti sebagai usaha yang baik.

“Cuma kalau ikut logik menteri agama sebelum ini, perhimpunan ini tidak perlu dibuat pun, sebab pelakunya dah ditangkap,” katanya.

Terdapat juga beberapa kritikan yang dilemparkan netizen antaranya pengguna yang dikenali dengan nama Haizam yang mendakwa matlamat perhimpunan tidak mencapai sasaran.

“Yang dilihat beriya-iya sangat cuma Melayu je. KAUM cina dan India boleh dikira dengan jari,” katanya.

Pengguna dengan nama akaun Blana pula berkata, Malaysia dikategorikan sebagai aman pada pemerintahan kerajaan terdahulu sahaja.

“Tetapi selepas puak komunis mengambil alih tampuk pimpinan, segalanya berubah. Tidak lagi aman,” katanya.

Rata-rata pengguna juga dilihat membangkitkan isu menuntut keadilan pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang dipukul ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25.